COVID-19: Agong zahir penghargaan kepada Wisma Putra bantu rakyat Malaysia terkandas di luar negara

KUALA LUMPUR, 7 Mei  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada warga Wisma Putra khususnya para pegawai dan petugas kedutaan Malaysia di luar negara serta Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran penularan wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata titah penghargaan itu telah disampaikan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa sesi menghadap menerusi sidang video semalam.

“Al-Sultan Abdullah amat menghargai komitmen, kompentensi dan sikap profesionalisme yang telah ditunjukkan oleh para pegawai dan petugas Wisma Putra dalam mengharungi cabaran untuk membawa pulang 14,015 rakyat Malaysia dari 70 buah negara,” katanya menerusi kenyataan itu.



Tambah beliau, Seri Paduka turut menghargai khidmat yang diberikan oleh Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar dalam menyediakan laporan dan khidmat konsular kepada para diplomat asing di Malaysia serta rakyat Malaysia yang masih berada di negara yang dilanda wabak itu.

“Baginda menasihati diaspora Malaysia di luar negara agar sentiasa berhati-hati dan dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Disiplin diri dan komitmen terutamanya pematuhan jarak sosial dan kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh negara-negara yang mereka bermastautin perlu diberi perhatian yang serius,” katanya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Wisma Putra mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang baik dan kerjasama rapat yang sedia terjalin antara Malaysia dan rakan-rakan negara di seluruh dunia.



Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka, yang pernah melanjutkan pengajian di dalam Hal Ehwal Luar Negeri dan Diplomasi di Worcester & Queen Elizabeth College di United Kingdom pada tahun 1981, mempunyai kecenderungan tinggi di dalam bidang diplomatik dan amat memahami kepentingan hubungan dua hala dengan negara-negara luar.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar umat Islam mengambil keberkatan bersempena Ramadan Al-Mubarak dan sambutan Nuzul Quran yang akan menjelang tidak lama lagi untuk berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta pandemik ini dapat dibendung dan diakhiri dengan segera.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button