Remaja buat aksi ‘wheelie’ ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Remaja buat aksi ‘wheelie’ ditahan
Tangkap layar aksi merbahaya dilakukan seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Utara-Selatan Oktober 2023 sebelum ditahan, semalam.

Gara-gara rakaman melakukan aksi ‘wheelie’ dan menunggang motosikal secara merbahaya tular di media sosial, seorang remaja lelaki ditahan polis, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Mohd Sapri berkata, aksi tersebut dilakukan di Lebuh Raya Utara-Selatan, Oktober, tahun lalu.

Katanya, semakan mendapati suspek melakukan aksi mengangkat tayar hadapan selain melakukan aksi zig-zag.

“Suspek didapati melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk meletakkan kedua belah kakinya di atas tempat duduk secara berbahaya.

“Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 2 Oktober di Kilometer 115.6-116.2 dan Kilometer 120.2-120.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek berumur 18 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

“Suspek ditahan di pekarangan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara kira-kira pukul 7.15 petang.

“Suspek mendakwa ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Bagan Ajam, Butterworth dan video berkenaan dirakam rakannya sendiri,” katanya.

Tegas Azman, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“JSPT tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya sehingga boleh membahayakan nyawa kepada pengguna jalan raya yang lain,”

Semalam, tular di media sosial rakaman video berdurasi 31 saat memaparkan aksi merbahaya remaja berkenaan di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker