Tujuh jam bertarung nyawa

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Syanie Hisham, 46, bertarung nyawa hampir tujuh jam ketika melakukan pembedahan pada bahagian ovari dan uterus pada 29 April lalu.

Kata Syanie, pembedahan yang dilakukan kebiasaannya mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Bagaimanapun, saya berdepan dengan banyak komplikasi, jadi pembedahan memakan masa hampir tujuh jam.

“Namun, perjuangan saya untuk terus hidup berakhir dengan penamat indah dengan izin-Nya. Saya berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang menyelamatkan nyawa saya,” katanya kepada BH Online.



Masih diberi kesempatan meneruskan kehidupan, pelakon drama Sayang Si Montel dan Cili Padi itu bersyukur dan merasakan seolah-olah baru sahaja terlepas pengalaman hampir dicabut nyawa.

“Saya tak pernah terbayang melalui situasi menakutkan seperti ini. Mahu atau tidak, masalah pada bahagian ovari dan uterus perlu dibuang.

“Memikirkan usia bukan muda dan berat badan, saya sangat takut. Saya bimbang dengan apa sahaja kemungkinan yang boleh berlaku.

“Mungkin ada yang fikir, ini hanya soal kecil. Sejujurnya, fikiran saya sangat berkecamuk. Saya sampaikan terfikir kemungkinan berdepan dengan kematian,” katanya.



Syanie berkata, dia tidak mampu menyembunyikan perasaan gementar pada hari pembedahan.

“Namun, adik perempuan sentiasa meyakinkan dan mengingatkan untuk terus berzikir. Pesannya, ingat Allah selalu. Dia tidak meninggalkan saya hingga masuk ke bilik pembedahan.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Perkara terakhir yang dipesan supaya ingat apa yang mak selalu cakap iaitu jumpa kemudian. Jadi, saya balas kepadanya, baiklah saya jumpa awak kemudian juga.

“Namun, percayalah jantung saya tidak berhenti berdegup kencang. Mulut hanya berzikir dan berdoa supaya semuanya dipermudahkan. Saya tahu adik pun risau dan tak mampu menahan sebak ketika saya ditolak masuk ke bilik pembedahan,” katanya.



Syanie berkata, dia terharu dengan sokongan keluarga, sanak saudara dan teman tersayang.

“Ibu, antara yang menangis tidak henti apabila saya melalui keadaan ini. Namun, satu perkara membuat saya tersentak apabila ibu cakap, duit boleh dicari, tetapi anak, tiada galang ganti. Ibu tidak mahu melihat saya terus bersedih.

“Alhamdulillah, adik beradik, ipar duai, saudara mara dan kenalan rapat terus memberikan saya semangat. Begitu juga insan istimewa yang selalu membuatkan saya tersenyum,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button