Mayat lelaki ditemui dengan kesan cedera di badan

KOTA BHARU: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan cedera di bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri di dalam sebuah rumah kosong di Jalan Pintu Pong, di sini tengah hari tadi.

Polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat tanpa identiti yang dianggarkan sudah meninggal dunia tidak lebih dari dua hari, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata mangsa dipercayai berusia sekitar 20-an hingga 30-an dan lokasi penemuannya adalah tempat tinggal gelandangan.

“Hasil pemeriksaan pasukan forensik dan pegawai penyiasat, tiada sebarang dokumen ditemui untuk mengesahkan identiti mangsa.

“Pemeriksaan di badan mangsa menemui beberapa kecederaan di bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri.

“Turut ditemui adalah kesan darah di lantai dan dinding ruang tamu rumah dan kemungkinan mangsa terbabit dalam kes pergaduhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini sebentar tadi.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.

Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an di kawasan sekitar untuk membantu siasatan.

Menurutnya, mangsa dan lelaki terbabit dipercayai saling mengenali dan polis akan menjalankan siasatan lanjut sama ada berlaku pergaduhan antara kedua-duanya berdasarkan kesan darah yang ditemui.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita juga sedang mengesan saksi bebas yang boleh membantu merungkaikan kes ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mayat lelaki berlumuran darah ditemui di sebuah rumah kosong di Jalan Pintu Pong. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mayat lelaki berlumuran darah ditemui di sebuah rumah kosong di Jalan Pintu Pong. – NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *