Inter Milan terus genggam Serie A

Oleh – Syeikh Baran


Inter Milan terus genggam Serie A
INTER meraih kemenangan ke atas Genoa awal pagi semalam untuk terus melebarkan jurang mata di puncak Serie A ketika ini. – AFP

Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi menyamakan skuad Nerazzurri ketika ini sama seperti pasukan Red Bull dalam saingan Formula Satu (F1) selepas mendominasi sepenuhnya kejohanan Serie A ketika ini.

Pasukan Inter kini gah mendahului carta Serie A apabila memiliki kelebihan 15 mata berbanding pencabar terdekat selepas merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Genoa awal pagi semalam sekali gus mengutip 72 mata keseluruhan.

Kata Inzaghi, jurang kelebihan yang dimiliki ketika ini menyaksikan pasukan hampir pasti merampas kembali gelaran Serie A yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2021.



“Nasib pasukan kini terletak di tangan sendiri selepas memiliki jurang sebanyak 15 mata berbanding pencabar terdekat seperti Juventus dan AC Milan. Pujian wajar diberikan kepada pemain kerana kelebihan ini hanya dicapai dalam tempoh 33 hari.

“Mungkin apa yang kita pamerkan ketika ini seperti pasukan Red Bull dalam kancah F1. Namun, dalam masa yang sama saya mahu pasukan kekal merendah diri kerana selepas ini kita mengharungi perlawanan getir menentang Bologna, Atletico Madrid dan Napoli,” katanya.

Sementara itu, Kristjan Asllani yang menjaringkan satu gol buat Inter pada perlawanan semalam mengakui rakan-rakan pasukan beraksi di bawah tahap sebenar dan bernasib baik meraih tiga mata berharga.

“Saya rasa kepenatan menjadi salah satu punca kami tidak dapat mendominasi perlawanan seperti biasa. Namun, saya percaya ini adalah salah satu cabaran yang anda perlu tempuhi sekiranya mahu bergelar juara liga,” katanya. – AGENSI



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker