Eddie Hamid terkejut PM petik lagu dalam ucapan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Eddie Hamid terkejut lagu ciptaannya, Jange Kelik Laa Weii dipetik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas, petang tadi.

Lagu Jange Kelik Laa Weii yang menasihatkan rakyat jangan balik kampung atau bergerak merentas negeri, disebut Perdana Menteri ketika mengumumkan aktiviti ziarah yang dibenarkan bagi tiga perayaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Terharu karyanya disebut dalam ucapan penting itu, Eddie berterima kasih kepada Perdana Menteri yang disifatkan pemimpin yang sangat peka dengan apa yang dilakukan rakyat.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana menyokong, mendengar dan sudi mempromosikan lagu Jange Kelik Laa Weii.



“Saya sangat teruja dan terharu… Selama ini, teks ucapan Perdana Menteri dipuji ramai kerana kandungannya dekat dengan masyarakat melalui penggunaan pelbagai terma.

“Ini menunjukkan beliau peka dengan apa yang dilakukan rakyat. Kawan-kawan saya juga teruja berkongsi perkara ini,” katanya kepada BH Online.

Eddie berkata, ucapan Perdana Menteri itu dianggap hadiah paling bermakna bagi ulang tahun kelahirannya yang ke-58, Jumaat lalu.

Berkongsi perasaan sebelum Perdana Menteri berucap, Eddie atau nama penuh, Abdul Hamid Adenan berkata, dia berdebar apakah PKPB bakal ditamatkan di mana ia boleh membawa kepada kemungkinan Jange Kelik Laa Weii tidak dapat dipromosikan.



“Lima minit sebelum ucapan bermula, saya sudah terpacak di depan televisyen (TV).

“Lagu Jange Kelik Laa Weii sudah dihantar kepada pihak stesen radio untuk dipromosikan. Namun, penyiar termasuk stesen televisyen (TV) meminta menunggu perutusan Perdana Menteri.

“Jika Perdana Menteri umum PKPB ditamatkan, barangkali lagu saya tidak dapat dimainkan.

“Akhirnya, Perdana Menteri mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun ini. Saya optimis keputusan itu adalah demi kebaikan kita semua agar penularan COVID-19 dihentikan,” katanya.



Sebelum ini, dilaporkan, Eddie tampil dengan versi berbeza lagu Kelik Laa Weii yang diciptanya, empat tahun lalu.

Diberi judul baharu, Jange Kelik Laa Weii berbentuk nasihat agar rakyat akur arahan Perdana Menteri yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri atau balik kampung meraikan 1 Syawal, dua minggu lagi.

Ketika dilancarkan, single Kelik Laa Weii yang didendangkan dua penyanyi dari Kelantan, Aris Kapilla dan Man Khan menjadi siulan, malah diangkat sebagai lagu rasmi rakyat Kelantan pada 2016.

Kali ini, sesuai dengan usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, Eddie mencetuskan idea bersama Man dan Aris mencipta versi baharu lagu berkenaan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button