Lima syarikat kripto jatuh bankrap tahun ini

NEW YORK: Tahun 2022 menjadi detik paling sukar bagi industri kripto selepas nilainya merosot ketara dengan harga bitcoin jatuh 65 peratus sejak awal tahun, manakala Luna terus lumpuh dan pertukaran kripto, FTX pula bankrap.

Beberapa syarikat kripto utama diisytiharkan bankrap tahun ini iaitu FTX, BlockFi, Three Arrows Capital (3AC), Voyager Digital dan Celsius Network.

Bagi FTX, ia menjadi kejatuhan kripto terbesar tahun ini apabila bursa kripto berpangkalan di Bahamas itu memulakan 2022 dengan penilaian sekitar AS$32 bilion (RM141.09 bilion).

FTX dikatakan memiliki lebih sejuta pengguna, meletakkannya sebagai ‘penyelamat’ firma kripto lain di tengah-tengah pergolakan pasaran awal tahun ini.



Namun, menjelang November, FTX diisytiharkan muflis selepas seminggu kemungkinan penggabungan dengan pesaing pertukaran kripto, Binance gagal.

Bagi BlockFi pula, pemberi pinjaman kripto itu menjadi firma pertama mengikut jejak langkah FTX diisytiharkan muflis selepas memfailkan Bab 11 kira-kira dua minggu selepas kejatuhan FTX.

BlockFi mempunyai beberapa kaitan dengan FTX, dan ia bergantung pada kemudahan kredit FTX bernilai AS$400 juta (RM1.76 bilion) untuk terus bertahan selepas pesaingnya, Voyager Digital Ltd dan Celsius Network bankrap akibat pergolakan pasaran pada awal 2022.

Dana lindung nilai kripto, Three Arrows Capital (3AC) menjadi firma kripto utama pertama yang diisytiharkan muflis tahun ini selepas kejatuhan Luna dan TerraUSD pada Mei.



Kemerosotan itu menggemparkan pasaran kripto di seluruh dunia, menghapuskan nilai pelabur bernilai AS$42 bilion (RM185.2 bilion), dan membawa kepada waran tangkap di Korea Selatan untuk pembangun mata wang kripto itu.

3AC berpangkalan di Singapura yang dilaporkan memiliki AS$10 bilion (RM44.1 bilion) dalam mata wang kripto pada awal 2022, memulakan prosiding muflis di British Virgin Islands pada Jun.

Voyager, pemberi pinjaman kripto yang berpangkalan di New Jersey pula memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat (AS) pada Julai selepas 3AC gagal membayar pinjaman kripto bernilai lebih daripada AS$650 juta (RM2.87 bilion).

Voyager berharap untuk menukar status kebankrapannya dengan pantas melalui sistem mahkamah AS, selepas ia mencapai persetujuan untuk menjual asetnya dengan nilai AS$1.4 bilion (RM6.17 bilion) dalam kripto kepada FTX pada September.

Satu lagi pemberi pinjaman kripto yang lumpuh disebabkan kejatuhan Terra dan Luna ialah Celsius Network.

Ia memfailkan muflis di AS pada Julai dengan kedudukan yang lebih kukuh berbanding Voyager

Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker