COVID-19: Cabaran, rintangan tingkatkan kemahiran berfikir warga sukan
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) — Kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif barisan atlet dan jurulatih kebangsaan secara tidak langsung akan meningkat sepanjang tempoh wabak COVID-19, kata pakar perubatan sukan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme.
Jelasnya, ia disebabkan cabaran yang terpaksa ditempuh dalam mengubah struktur program latihan bersesuaian dengan saranan kerajaan yang menekankan kepentingan mengamalkan jarak sosial bagi mengekang penularan wabak penyakit berjangkit itu.
“COVID-19 adalah cabaran baharu untuk semua termasuk warga sukan. Impak COVID-19 kepada atlet boleh dilihat pada usaha mereka dalam mengekalkan kecergasan dan pada masa sama mematuhi perintah kerajaan. Bagi saya, ini satu benda baharu yang perlu dibiasakan oleh atlet dan jurulatih.
“Latihan tetap perlu diteruskan, situasi ini menyebabkan atlet dan jurulatih belajar menggunakan pelbagai kemudahan teknologi untuk meneruskan sesi latihan di rumah dan pemantauan perkembangan atlet itu dilakukan melalui pengawasan secara langsung,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Dr Jasmiza yang juga doktor pasukan bola sepak kebangsaan, pengubahsuaian program dan corak latihan yang kreatif memerlukan kerjasama baik antara atlet dan jurulatih.
“Atlet harus peka dengan keadaan fizikal diri untuk membantu pegawai ISN dan jurulatih merancang program latihan bersesuaian untuk mereka selain membekalkan program rehabilitasi dan fisioterapi supaya kelangsungan rawatan terjamin,” tambah beliau.
Beliau berkata pengubahsuaian program dan corak latihan akan lebih dirasai atlet sukan jenis berpasukan seperti bola sepak dan ragbi, berbanding atlet sukan individu yang lebih senang mengamalkan jarak sosial.
Ia kerana kebanyakan sukan jenis berpasukan melibatkan sentuhan badan sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti virus berkenaan, katanya.
Pada masa sama, Dr Jasmiza mengakui perubahan normal baharu yang perlu dipraktikkan kesemua atlet serta jurulatih akan menjadikan mereka lebih berdisiplin.
“Besar kemungkinan pasca COVID-19 sehingga hujung tahun, normal baharu ini perlu diteruskan demi kesihatan semua tetapi apa yang positifnya, ia akan mengajar atlet dan jurulatih menitikberatkan soal kebersihan, menjadikan mereka lebih berdisiplin dan kreatif untuk menjaga tahap kecergasan,” katanya.
— BERNAMA