Tiga lelaki berputih mata, gagal larikan wang pecah masuk kedai

BATU PAHAT, 12 Mei — Tiga lelaki berputih mata selepas gagal melarikan wang tunai RM20,000 dari sebuah kedai serbaneka, di Jalan Sultanah, di sini, dan mereka kemudiannya diberkas polis setelah empat jam laporan dibuat pengurusan kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 23 tahun itu dipercayai memecah masuk kedai terbabit pada awal pagi, Ahad lalu dan ia hanya disedari kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati dua daripada suspek yang ditahan merupakan bekas pekerja kedai serbaneka terbabit sekali gus memudahkan mereka kerana mengetahui selok-belok premis berkenaan.

“Walaupun mereka berjaya menemukan peti besi yang merupakan sasaran utama, namun mereka gagal membuka tiga peti berkenaan dengan menggunakan mesin pemotong dan besi kuku kambing yang berada di kedai tersebut.

“Setelah berputih mata akibat gagal mendapatkan wang dalam peti besi berkenaan, mereka mencapai apa sahaja yang sempat seperti beberapa aksesori telefon bimbit dan barangan elektronik,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, hari ini.

Jelas Mohd Azhan lagi, setelah laporan dilakukan pada 10 pagi, tangkapan berjaya dilakukan pada 2 petang hari yang sama di kediaman suspek, sekitar bandar Batu Pahat, setelah pengecaman dilakukan bekas majikan mereka.

Ketiga-tiga suspek berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, serta negatif dadah dan dipercayai ‘baru belajar’ untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 17 Mei depan untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain denda serta sebatan.

— BERNAMA

Leave a Reply