Letto bawa identiti Jawa

 

Oleh Pena Merah

Letto bawa identiti Jawa
Kumpulan Letto

‘SIAPA yang mahu dengar band kampung? tiada kelas’

Demikian penghinaan yang diterima kumpulan terkenal Indonesia, Letto ketika kemunculannya di awal 2000-an. Ahli kumpulannya berwajah sangat nusantara, tidak mengikuti kekacakkan yang dipuja kebanyakan peminat drama Korea Selatan.



Begitu pula penampilan dan nada percakapannya yang kedengaran padat loghat Jawa.
Namun Letto hanya senyum dan ketawa dengan sindiran itu. Setahun kemudian Letto mengejutkan industri seni apabila album Truth, Cry, Lie terjual jutaan unit.

Letto membuat mulut para pengkritik melongo. Band yang dianggap kampung ini tiba-tiba digilai, lagunya mendominasi radio dan memanjat tangga populariti sehingga ke Malaysia.

Utusan Malaysia sempat mendapatkan Letto usai konsert Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur baru-baru ini untuk bercerita mengenai perjalanan yang dilalui Neo, Patub, Arian dan Dhedut sepanjang 20 tahun.

Kekuatan lagu malar segar Letto seperti Ruang Rindu, Sandaran Hati dan Sebelum Cahaya lahir daripada paduan lirik dan muzik. Mungkin Neo pintar memilih perkataan semasa menulis lirik mewarisi bakat bapanya, Cak Nun yang juga sasterawan terkenal Indonesia.



“Saya sejak kecil memang akrab dengan sastera. Saya sudah terbiasa bercakap seperti puisi. Itu juga dapat dilihat daripada semua lirik lagu Letto yang saya pernah hasilkan.

“Sebenarnya, semua lagu-lagu Letto banyak bercakap mengenai cinta kepada Tuhan. Namun saya serahkan interpretasi kepada pendengar,” katanya Neo yang juga vokalis Letto.

Identiti Jawa ke pentas antarabangsa

Letto bawa identiti Jawa
Letto band asal Jogjakarta selalu berasa bangga dengan desa kelahirannya walaupun ada sesetengah pihak menganggap mereka tidak cukup cool atau moden seperti band lain di Jakarta.



Identiti seorang anak Jawa ditampilkan Letto menerusi persembahannya semasa konsert di Kuala Lumpur. Mereka menerbangkan tujuh orang pemain gamelan dari Jogjakarta mengiringi persembahan mereka malam itu.

Bukan itu sahaja, Letto membawakan lagu terkenal masyarakat Jogjakarta iaitu ‘Gundul Pacul’ dengan gubahan muzik dalam genre berbeza.

“Sejak kecil memang kami sudah bermain gamelan. Alat muzik itu sangat dekat dengan jiwa masyarakat Jawa. Jadi kami bawakannya istimewa malam ini dengan susunan muzik yang telah kami persiapkan dengan rapi.

“Lagu Gundul Pacul yang kami nyanyikan di pentas sebentar tadi sebenarnya itu tiada dalam perancangan. Semuanya terjadi dengan bersahaja kerana kami menyukai energi yang diberikan penonton.



“Kami mahukan penonton seperti berada di kota kelahiran kami, Jogjakarta sepanjang konsert di Kuala Lumpur. Boleh dianggap oleh-oleh dari Jogja,” katanya Neo.

Untuk Info, konsert Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur pada Jumaat mendapat kehadiran penuh seramai 2,400 orang penonton.

Letto membawakan lagu hit mereka sepanjang dua jam konsert termasuklah menyadur lagu popular daripada penyanyi Malaysia iaitu ‘Suci Dalam Debu’ dari Iklim dan ‘Isabella’ nyanyian Search.

-Utusan-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading