Hospital lubuk buang bayi

Johor Bahru: Beberapa hospital di bandar raya ini dijadikan ‘lubuk buang bayi’ apabila insan malang dan tidak berdosa itu ditinggal ibu kandung mereka selepas dilahirkan.

Bayi seawal usia kurang seminggu hingga beberapa bulan dikesan ‘dibuang’ waris mereka di beberapa hospital termasuk di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Perkara itu diakui Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin yang berkata, kes pengabaian bayi itu tiada kesudahan dan berlaku berulang kali setiap tahun.

Memperincikan insiden tidak bertanggungjawab itu, Adnan berkata, dalam beberapa kes, ibu kandung meninggalkan bayi dengan menghilangkan diri daripada hospital.

Katanya, manakala terdapat juga kes pengabaian berlaku apabila ibu kandung tidak mahu membawa pulang bayi dengan pelbagai alasan termasuk tiada tempat tinggal tetap.

“Dalam sesetengah kes, bayi baharu lahir yang diberi rawatan kerana komplikasi tertentu gagal dituntut ibu kandung mahupun warisnya yang bersikap lepas tangan.

“Mengikut statistik, pada tahun lalu (2021) sebanyak 12 kes pengabaian bayi baharu dilahirkan di hospital awam iaitu 11 di HSI dan satu kes di HSA membabitkan lima bayi lelaki dan tujuh bayi perempuan.

“Hanya dua daripada 12 kes berkenaan terdiri daripada warga Indonesia. Manakala pada tahun ini (sehingga Mei 2022) sebanyak tiga kes direkodkan yang mana satu kes di HSI dan dua kes di HSA membabitkan dua bayi lelaki dan seorang perempuan. Ketiga-tiga bayi ini dilahirkan wanita tempatan,” katanya.

Adnan berkata, kebiasaannya bayi ditinggalkan berkenaan adalah anak tidak sah taraf.

Menurutnya, pihaknya sukar bagi mengesan ibu kandung mahupun waris bayi apabila tidak memperoleh maklumat lengkap berkaitan mereka.

“Ada antara mereka yang sengaja tidak memberikan alamat lengkap manakala warga asing pula menggunakan pasport antarabangsa palsu ketika mendaftar di hospital berkenaan.

“Perbuatan berkenaan mengakibatkan masa depan zuriat mereka menjadi tanda tanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kebiasaannya JKM akan menjalankan usaha mengesan waris bayi yang dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 demi membincangkan masa depan mereka.

“Mereka yang menjadi mangsa pengabaian ditempatkan bersama keluarga pelihara mengikut peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak

“JKM memilih sebuah keluarga pelihara sesuai iaitu kebiasaannya pasangan suami isteri yang masih belum memiliki zuriat selepas mendirikan rumah tangga bagi tempoh lima tahun ke atas.

“JKM menjalankan proses lanjut mengikut prosedur ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Pada November 2021, Harian Metro melaporkan seorang wanita meninggalkan bayi perempuan yang dilahirkan di HSA selepas memberi alasan tiada tempat tinggal tetap dan hanya menghuni di inap desa.

Manakala pada Februari 2021, seorang wanita warga Indonesia menghilangkan diri, sekali gus meninggalkan bayi lelakinya berusia 40 hari di HSA selepas perbuatannya menggunakan pasport palsu terbongkar.

Pada 27 April 2019 pula, akhbar ini melaporkan seorang wanita mengulangi perbuatannya dengan mengabaikan bayi kedua yang baru dilahirkan di HSA. Wanita sama dilaporkan menghilangkan diri lima tahun sebelumnya selepas melahirkan anak tidak sah taraf di hospital sama.

Ramai tak tahu seks bawah umur satu kesalahan

Kurang kesedaran sivik dan nilai kemanusiaan dipercayai punca berlakunya kes pembuangan bayi.

Kaunselor, S Mohana Sunthari berkata, demi mengatasi permasalahan itu, Pendidikan Sivik harus ditingkatkan dan nilai murni kemanusiaan harus diterapkan sejak kecil.

Beliau berkata, ia termasuk dengan cara pembelajaran kreatif contohnya di peringkat sekolah rendah hingga ke menengah, anak-anak muda perlu diberi maklumat tepat berkaitan pendidikan seks.

Menurutnya, misalnya, pada usia tujuh hingga 10 tahun, kanak-kanak perlu diajar berkaitan adab dan pada usia 10 hingga 14 tahun pula, mereka perlu dijauhkan dari perkara yang boleh meningkatkan nafsu.

Mengulas lanjut, katanya, pada usia 14 hingga 16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab perhubungan seks (sexual manner) iaitu remaja juga perlu tahu apa yang terkandung dalam undang-undang berkaitan seks.

“Misalnya membuat hubungan seks dengan mereka yang di bawah umur adalah dianggap sebagai jenayah rogol. Ramai remaja bawah umur yang melakukan hubungan seks tanpa mengetahui perkara ini.

“Pengajaran berkaitan nilai-nilai yang seharusnya wujud ketika berhubungan seks iaitu hubungan seks hanya patut berlaku selepas berkahwin juga perlu ditekankan,” katanya.

Mohana berkata, tidak dinafikan seseorang wanita mengambil keputusan membuang bayi dalam keadaan terdesak dan kebanyakannya kerana melahirkan anak tidak sah taraf.

“Mereka terdesak kerana tekanan, situasi dan sebagainya namun ia dapat dielakkan sekiranya keluarga memainkan peranan masing-masing.

“Pembuangan bayi boleh menimbulkan pelbagai permasalahan termasuk membahayakan nyawa bayi,” katanya.

Mohana berkata, berkaitan kes pengabaian bayi baharu dilahirkan di hospital, prosedur penerimaan dan pemantauan di hospital perlu ditingkatkan oleh pengurusan hospital.

“Ia demi membendung kes-kes melahirkan bayi dan ditinggalkan di hospital,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker