ADUN Kuah, Ayer Hangat sahkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

LANGKAWI, 12 Mei — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah dan Ayer Hangat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini mengesahkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta memberi sokongan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu.

Bercakap kepada Bernama ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat berkata keputusan tersebut dibuat supaya sealiran dengan kepimpinan Bersatu di peringkat kerajaan persekutuan.

“Keputusan ini juga dibuat supaya kami di peringkat negeri sealiran dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri, jadi kami di peringkat negeri mahu ikut kepimpinan peringkat persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Juhari yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata keputusan beliau juga mendapat sokongan di peringkat akar umbi DUN Ayer Hangat.

“Saya dah minta pendapat ahli di peringkat akar umbi, mereka setuju dengan keputusan yang diambil. Kami ada bot baharu yang mai, jadi kami ambil keputusan untuk naik bot tersebut,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Mohd Firdaus ketika menjelaskan keputusannya menegaskan tidak timbul soal lompat parti berikutan keputusannya itu, sebaliknya beliau kekal bersama Bersatu mengikut kepimpinan di peringkat pusat.

“Janganlah keliru atau terpedaya kata kami empat wakil rakyat Bersatu keluar parti atau lompat parti. Kami masih lagi di dalam parti Bersatu, cuma kami ikut hala tuju dan arahan parti serta presiden parti sekarang ni,” katanya.

Seramai 19 daripada 36 ADUN Kedah hari ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata mereka merangkumi 15 ADUN PAS, dua UMNO dan dua lagi ADUN PKR yang mengumumkan keluar parti tengah hari tadi iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).

— BERNAMA

Leave a Reply