COVID-19 tidak patahkan semangat Pandelela untuk terus cemerlang

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Biarpun menghadapi cabaran dan rintangan susulan penularan wabak COVID-19, ia tidak mematahkan semangat penerjun wanita negara, Pandelela Rinong untuk terus memperbaiki prestasinya bagi menghadapi Sukan Olimpik di Tokyo, yang ditangguhkan ke tahun depan.

Pandelela berkata sebagai atlet beliau mempunyai misi dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai meskipun pada masa ini menghadapi kesukaran membuat latihan sebagai persediaan ke temasya sukan terbesar dunia itu berikutan jangkitan penyakit berbahaya itu.

“Sebelum ini saya sudah bersedia kerana Sukan Olimpik Tokyo 2020 merupakan impian besar bagi saya dan juga atlet lain, namun apabila ditunda pada tahun hadapan sudah semestinya ia menjejaskan bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental untuk kami semua membuat persediaan.

Apabila menghadapi sesuatu cabaran pastinya kita akan rasa ‘sedih’ tetapi jangan mudah berputus asa dan perlu lebih yakin kita mampu pergi lebih jauh,” katanya pada program ‘Forum Live Santai Belia KBS’ di laman sosial Facebook KBSMalaysia dengan topik perbincangan “Cabaran Belia Pasca Covid-19: Layari Norma Baharu Kehidupan” hari ini.



Pada program bersiaran selama satu jam itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertindak sebagai moderator, dan menampilkan tiga tetamu undangan – Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha; Ketua Pegawai Eksekutif Arba Travel Ammar Roslizar dan Pandelela – serta penampilan khas, ‘pengguna YouTube tular’ S Pavithra bersama suaminya M Sugu

Dalam pada itu, Reezal yakin golongan belia mampu menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan walaupun pelbagai cabaran harus dilalui berikutan penularan wabak COVID-19.

“Saya berharap segala perbincangan yang dibahaskan di sini akan dapat membantu susur perjalanan hidup yang bakal dilalui dalam menjadikan dekad 2020 kepada 2030 sebagai dekad belia,” kata beliau.

Sementara itu, Ammar berpendapat masyarakat harus bersikap positif pada waktu yang sukar ini dengan menggunakan teknologi sedia ada serta mengamalkan teknik penerapan teknologi dengan pantas agar dapat membantu mereka memilih bidang keusahawanan sebagai karier pilihan untuk terus maju kerana peluang pasaran yang lebih luas.



“Saya percaya keusahawanan adalah solusi tonggak untuk mencipta pekerjaan dan membantu masyarakat keluar daripada ‘perangkap pendapatan pertengahan’ sekali gus dapat membasmi kemiskinan.

Teknik penerapan teknologi yang pantas juga membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dalam tempoh singkat akibat penularan wabak ini,” katanya.

Pada masa yang sama, pasangan suami isteri YouTuber yang tular dengan menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ turut memberikan nasihat agar masyarakat tabah dan terus kekal positif dalam menghadapi dugaan serta tidak mudah berputus asa.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button