Perluaskan Pemberian BPN, Pertimbangan Sewajarnya Terhadap Rayuan – Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap semua rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang munasabah agar ianya dapat membantu golongan berkenaan.

Menurut beliau hampir separuh daripada 1.05 juta permohonan BPN yang ditolak terdiri daripada individu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sikap kerajaan yang mendengar keluhan rakyat dan memberi peluang kepada pemohon BPN yang gagal membuat rayuan adalah tindakan yang bertepatan.

“Sesiapa yang telah diberhentikan kerja tetapi data mereka masih tidak dikemaskini di LHDN juga dialu-alukan untuk membuat rayuan termasuklah pemohon dengan pendapatan yang tidak seberapa yang pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tetapi sudah tidak aktif berniaga.



“Saya meneliti beberapa laporan akhbar berkaitan dengan BPN baharu-baharu ini. Menurut laporan, LHDN telah menolak lebih satu juta permohonan bagi dana BPN ini, dan daripada jumlah itu lebih 450 ribu orang telah ditolak atas alasan mereka pernah mendaftarkan perniagaan dengan SSM,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata Ahmad Zahid semalam Gabenor Bank Negara menyatakan bahawa kadar pengangguran di negara kita mungkin akan meningkat melebihi daripada jumlah yang dijangkakan dan berdasarkan kepada kenyataan ini, nampaknya BPN mungkin perlu diperluaskan lagi,kerana berkemungkinan ramai dari mereka yang masih bekerja kini, bakal kehilangan pekerjaan tidak lama lagi.

Tambah beliau lagi pada hematnya kerajaan hendaklah meluluskan peruntukan tambahan bagi BPN ini dan jika perlu jangan ditetapkan jumlah dana bagi bantuan ini kepada had tertentu dan adalah wajar kerajaan memastikan tiada rakyat yang memerlukan tercicir daripada mendapatkan bantuan ini.

“Kerajaan tidak akan rugi sedikitpun jika terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk rakyat, malah ramai pihak akan mendapat manfaatnya. Permintaan pengguna merupakan satu komponen terpenting dalam ekonomi. Di dalam kitaran ekonomi, perbelanjaan yang dibuat oleh seseorang adalah merupakan pendapatan kepada orang lain.



“Maka perbelanjaan rakyat merupakan pendapatan bagi sektor perniagaan. Sektor perniagaan dalam ekonomi domestik akan menjadi semakin payah untuk dipulihkan jika rakyat terpaksa mencatu perbelanjaan kerana ketiadaan wang di tangan. Sekiranya situasi ini berlaku secara berterusan, semua sektor akan rugi.

“Saya menyarankan kerajaan supaya permudahkan pemberian BPN kerana ianya satu tindakan menang menang kepada semua. Wang di tangan rakyat yang dibelanjakan akan mengalir kepada perniagaan dan merancaknya perniagaan yang akan memberi signal kepada kilang untuk kembali beroperasi. Sekiranya keyakinan rakyat kepada kerajaan dan keyakinan perniagaan dapat dipulihkan, insya-Allah sebarang pemulihan ekonomi yang dirancang nanti akan lebih mudah dapat dilaksanakan dengan berjaya,” ujarnya.- UMNO Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button