Dua Sebab Parlimen Sehari Boleh Diterima Walaupun Tidak Ideal – Rahman
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertiggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpandangan terdapat dua faktor atau sebab kenapa tempoh sehari parlimen boleh diterima walaupun tidak ideal.
Menurut beliau perbahasan dalam sesi parlimen 18 Mei tidak praktikal kerana sejak dilantik sembilan minggu yang lalu, menteri-menteri masih belum bertugas sepenuh masa kerana arahan PKP COVID- 19.
“Sudah tentu mereka belum mendapat taklimat penuh dari semua jabatan di bawah kementerian mereka. Jadi bagaimana menteri-menteri mahu menjawab soalan mengenai dasar kementerian mereka kalau ada sesi soal jawab dan bahas dalam sesi 18 Mei ini,” katanya menerusi catatan di facebook.
Tambah Rahman, demokrasi parlimen tidak mati sepertimana didakwa oleh pembangkang.
Ini kerana jelas beliau, sesi parlimen seterusnya dijangka diadakan sekitar bulan Julai 2020 iaitu lebih kurang dua bulan dari sekarang dan pada waktu itu, pembangkang boleh berbahas dan mengemukakan usul dalam parlimen seperti biasa.
“Sesi 18 Mei dibuat untuk memenuhi tuntutan perundangan yang melarang parlimen tidak bersidang melebihi enam bulan. Sesi 18 Mei ini juga diadakan untuk menghormati tradisi pembukaan parlimen oleh DYMM YDP Agong. Selainnya berdebat dan berbahaslah sepuas hati dalam masa dua bulan dari sekarang,” ujar beliau lagi.
Dilaporkan, dalam satu notis, setiausaha Dewan Rakyat baru-baru ini memaklumkan sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tersebut akan dilangsungkan selama 1 hari saja. – UMNO Online