Masalah kewangan jejas usaha lahir perenang berpotensi di NS

SEREMBAN: Sumber kewangan yang terhad ternyata menyukarkan usaha Persatuan Renang Amatur Negeri Sembilan (PRANS) untuk melaksanakan program pembangunan dan latihan bagi melahirkan atlet akuatik berprestasi tinggi.

Setiausaha Kehormat PRANS, Andy Low Siak San berkata pihaknya tidak dapat merangka program latihan bersepadu dan mantap kerana tidak memiliki jurulatih berwibawa bagi melatih atlet disebabkan sumber kewangan yang terbatas.

Katanya, sebelum ini PRANS mempunyai dua jurulatih dari China iaitu Qui Li bagi acara renang dan Shi Yang bagi acara terjun, namun kedua-duanya sudah ditamatkan kontrak dengan Shi Yang ketika ini melatih atlet akuatik Sarawak.

ATLET muda Negeri Sembilan yang mengambil bahagian pada Kejohanan Renang Antara Kelab 2019 di Pusat Akuatik Paroi, tahun lalu. - NSTP/Mohd Amin Jalil.
ATLET muda Negeri Sembilan yang mengambil bahagian pada Kejohanan Renang Antara Kelab 2019 di Pusat Akuatik Paroi, tahun lalu. – NSTP/Mohd Amin Jalil.

“Ketiadaan jurulatih berwibawa untuk melatih atlet baharu dari kalangan kanak-kanak berusia seawal 10 tahun sama ada bagi acara renang atau terjun, menyukarkan kita untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi untuk Negeri Sembilan dan negara.

“Walaupun terdapat jurulatih tempatan yang boleh digunakan kepakaran mereka tetapi ianya tidak mencukupi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet apa tah lagi untuk memastikan mereka mencapai tahap tertinggi,” katanya.

Andy yang mengambilalih semula jawatan berkenaan daripada pengurusan lama tahun lalu mengakui prestasi dan pencapian atlet akuatik Negeri Sembilan ketika ini jauh daripada apa yang pernah dicapai beberapa tahun sebelum ini.

Pada masa ini PRANS mempunyai 18 atlet muda berusia antara 8 hingga 15 tahun yang sedang diberikan bimbingan jurulatih tempatan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker