Johor hargai bantuan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor amat menghargai keprihatinan kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan segera bagi membantu mangsa banjir di negeri ini yang berhadapan antara bencana banjir terburuk pernah dihadapinya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di Johor semalam.

“Syukur Alhamdulillah, sewaktu lawatan saya di pusat pemindahan sementara (PPS) SKJ(C) Sulong di Parit Sulong, saya menerima perkhabaran gembira bahawa Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa banjir, serta keperluan lain yang mendesak. Terima kasih saya ucapkan.



“Kerajaan Johor juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana sudi menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

“Semoga usaha yang diambil Kerajaan Persekutuan dan negeri, dibantu agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah SWT.

“Saya mendoakan supaya kita semua cekal dalam menghadapi ujian ini. Insya-Allah kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Semalam, kerajaan dilaporkan meluluskan peruntukan segera RM50 juta untuk Johor susulan bencana banjir yang disifatkan terburuk pernah melanda negeri itu.

Kelulusan itu diumumkan Perdana Menteri, bagi tujuan melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak disebabkan bah.

Berdasarkan data terkini, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 37,322 penduduk, di sembilan daerah terjejas, setakat jam 8 pagi ini.

Ia membabitkan seramai 10,793 keluarga, yang dipindahkan ke 238 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sembilan daerah.



Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan turut mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, peruntukan berkenaan untuk membeli peralatan dan bantuan tambahan kepada mangsa terjejas yang semakin meningkat di pusat penempatan sementara (PPS).

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button