Rakyat Kedah harap Muhammad Sanusi tumpu isu kebajikan
Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim
ALOR SETAR, 17 Mei — Rakyat Kedah menyambut baik pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu dan berharap beliau dapat memberi komitmen tinggi untuk menyelesaikan isu melibatkan kebajikan rakyat di negeri ini.
Tengku Nur Shazwani Tengku Shaifful Bahri, 31, berkata pelantikan itu yang dilihat telah menamatkan kemelut politik di negeri ini akan memberi ruang kepada Muhammad Sanusi mentadbir negeri ini terutama dalam tempoh mencabar ekoran pandemik COVID-19 ketika ini.
“Saya juga berharap kawalan kemasukan warga asing di negeri ini dapat diperketatkan terutamanya di perairan Langkawi yang menjadi kawasan pendaratan mereka. Selain itu, saya juga harap menteri besar dapat menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini, tambahan dia pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“Dalam masa yang sama, saya sebagai peniaga berharap kerajaan baharu di bawah kepimpinan menteri besar kali ini dapat mencari jalan yang terbaik untuk mengawal harga bahan mentah di negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, penjawat awam Ismaullah Ismail, 38, berharap Muhammad Sanusi dapat memastikan kebajikan kakitangan awam di negeri ini terus terjaga agar semua yang berkhidmat dalam sektor itu kekal bermotivasi menjalankan tugas dengan lebih cekap.
“Saya harap menteri besar dapat melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya dan bersedia untuk menerima pandangan dan cadangan daripada semua pihak termasuk daripada golongan penjawat awam untuk membantu membangunkan negeri tercinta ini terutamanya dalam tempoh pasca COVID-19 selepas ini,” katanya.
Muhammad Izzat Syafiq Ibrahim, 26, pula berharap Muhammad Sanusi dapat memperkenalkan dasar yang lebih baik untuk generasi muda termasuk dari segi peluang pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.
“Saya juga berharap semua projek yang telah dirancang oleh bekas menteri besar sebelum ini antaranya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat diteruskan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini terutama untuk golongan muda.
“Saya juga minta untuk mempermudah dan menyediakan ruang untuk anak muda menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
Muhammad Sanusi, yang juga ADUN Jeneri, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi, 46, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada majlis yang berlangsung di Pejabat Sultan Kedah di wisma berkenaan.
— BERNAMA