Parlimen Sri Lanka undi ganti Rajapaksa

Colombo: Parlimen Sri Lanka pada Rabu mengundi untuk menggantikan Presiden Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara minggu lalu selepas istananya diserbu penunjuk perasaan yang mahu dia digantikan.

Pengganti presiden dalam pertembungan tiga penjuru itu akan mengambil alih pentadbiran sebuah negara yang sudah muflis.

Negara itu sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk pakej penyelamatan, ketika 22 juta rakyatnya mengalami kekurangan makanan, bahan api dan ubatan yang kritikal.

Penganalisis berkata, calon yang mendahului pemilihan adalah Ranil Wickremesinghe.

Dia adalah bekas perdana menteri yang sudah enam kali menjadi pemangku presiden selepas presiden meletak jawatan, namun dibenci penunjuk perasaan yang melihatnya sebagai sekutu Rajapaksa.

Tunjuk perasaan berlaku berbulan lamanya ekoran krisis ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini, memuncak selepas Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatannya dari Singapura minggu lalu, beberapa hari selepas tentera menyelamatkan pemimpin itu dari kepungan penunjuk perasaan.

Wickremesinghe, 73, dilaporkan mendapat sokongan parti pemerintah Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) Rajapaksas, blok terbesar dalam Parlimen.

Parlimen akan menjalankan undi rahsia dalam kalangan 225 ahli, pada hari ini.

Sebagai pemangku presiden, Wickremesinghe sudah melanjutkan tempoh darurat yang memberikan kuasa penuh kepada polis dan pasukan keselamatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker