Mahukan Kestabilan, Pengundi Baharu Cenderung Memilih UMNO/BN

KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi baharu termasuk pengundi berusia 18 tahun lebih cenderung untuk memilih UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana hanya parti tersebut yang mampu memberikan kestabilan kepada negara.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, perkara ini diakui oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan semasa Sesi Libat Urus Bersama Bahagian UMNO Pahang minggu lalu yang memperlihatkan trend terbabit berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kalau mengikut trend yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, pengundi-pengundi baharu dan juga pengundi 18 tahun di Johor lebih cenderung untuk memilih UMNO/BN kerana mereka mahukan kestabilan.

“Kestabilan ini dapat dizahirkan apabila negeri Johor dan Melaka yang dulunya dari segi kehadiran pelabur sangat rendah nak dibandingkan dengan negeri lain, sekarang ini Johor telah menjadi nombor satu dan juga Melaka dari nombor sembilan naik ke nombor lima.



“Jadi ini menunjukkan bahawa pengundi mahukan kerajaan yang kukuh dan stabil kerana ini sahaja yang dapat menjamin pengurusan negeri atau negara untuk terus maju ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang turut berkata, agak sukar untuk sesebuah parti yang mempunyai idealisme dan cara berfikir yang berbeza-beza untuk mentadbir negara.

“Kita betul-betul nakkan parti yang mempunyai kestabilan dan perpaduan. Tiada guna kita ada parti yang menang, tetapi mereka mempunyai idealisme ataupun cara berfikir yang berbeza-beza. Sukar untuk mentadbir negara.

“Seperti UMNO/BN, kita pergi solo kerana kita sudah bersama sejak sebelum merdeka lagi di Pilhan Raya Umum (PRU) yang pertama sehinggalah sekarang. Kita memahami di antara satu sama lain. Kemungkinan soal individu itu adalah masalah lain. Tetapi, parti tersebut adalah perkara yang paling penting,” katanya lagi.



Dalam pada itu, beliau turut berharap agar rakyat boleh menilai semua bentuk kerajaan yang telah mentadbir negara seusai PRU ke-14 dan memilih parti yang terbaik untuk mentadbir negara pada PRU yang akan datang.

“Kita berharap semua pengundi dapat menilai semua bentuk kerajaan yang hadir selepas PRU ke-14. Semua parti pernah mentadbir negara. Jadi mereka boleh menentukan parti mana yang mempunyai kebijaksanaan, kecekapan dan tahu bagaimana untuk mentadbir negara.

“Paling penting adalah pentadbiran negara. Mentadbir parti mungkin semua orang boleh buat sebab semua geng kita. Tapi mentadbir negara ini kita mesti mempunyai sensitiviti serta ketulusan dan mengamalkan sikap keadilan kepada semua kaum yang ada.

“Saya rasa pengundi sekarang ini adalah pengundi yang bijak dan mereka tahu untuk memilih yang terbaik bagi menjadi wakil mereka serta untuk mentadbir Malaysia ini,” katanya lagi.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker