Tiga ditahan edar dadah bernilai RM87,880 di kondominium

10/12/2020 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam ditahan kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM87,880 di dalam kawasan sebuah kondominium di Segambut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ben Eng Lai berkata dadah yang dirampas dalam tiga pemeriksaan berasingan ialah methamphetamine dengan anggaran berat 1292.35 gram, ketamine (1.33 gram), methylenedioxymethamphetamine atau MDMA (176.68 gram) dan pil Erimin 5 (17 biji).

“Bertindak atas maklumat, polis memeriksa satu unit kondomium berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari lalu menemukan pelbagai jenis dadah dan menahan seorang lelaki warga tempatan serta seorang wanita warga Vietnam berumur lingkungan 28 hingga 35 tahun.

“Susulan itu, polis menahan seorang lagi wanita warganegara Vietnam berumur awal 20-an di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta kondominium sama, dipercayai sedang menunggu suspek lelaki bagi urusan jual beli dadah,” katanya menerusi kenyataan.

Ben berkata polis menemukan pelbagai jenis dadah di dalam kereta itu dan hasil soal siasat lanjut ke atas suspek lelaki, sejumlah dadah turut dijumpai di tempat letak kaki di dalam sebuah lagi kereta di tempat letak kereta kondominium yang sama.

“Saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamine manakala suspek lelaki didapati mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Menurut Ben, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Ben berkata polis menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berumur lingkungan 37 hingga 40 tahun di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Sentul kerana disyaki mengedar dadah di sekitar Lembah Klang pada 2 Dis lepas.

“Pemeriksaan di kondominium itu pada pukul 1 tengah hari menemukan 21 peket plastik berisi bahan disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 790 gram bernilai RM31,600 dan wang tunai sebanyak RM1,660.

Suspek direman tujuh hari bermula 3 Disember sehingga semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

20 individu ditahan sertai pesta liar dan dadah di kondominium

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker