34 termasuk warga asing ditahan leka berparti liar
JOHOR BAHRU: Seramai 34 individu termasuk remaja ditahan ketika leka berparti liar di dua rumah inap desa di Senai, Kulai, dekat sini, awal pagi semalam, sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam dua serbuan berasingan antara jam 12.40 tengah malam hingga 1 pagi itu, 34 suspek termasuk 21 lelaki tempatan, enam wanita tempatan dan tujuh warga Vietnam berusia 16 hingga 38 tahun ditahan selepas gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor,Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya,berkata siasatan awal mendapati semua suspek bukan penghuni premis berkenaan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis ecstacy (247.29 gram), ketamin (8.07 gram) dan pil ecstacy (dua biji).
“Hasil saringan mendapati 28 suspek positif dadah dengan tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah.
“Semua suspek disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 15 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 selain Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Afzanizam berkata, semua suspek direman tujuh hari mulai semalam sehingga 25 Mei bagi siasatan lanjut.
Katanya, hasil serbuan dan tangkapan menunjukkan ada sebilangan masyarakat masih berdegil, mementingkan diri sendiri dan sengaja melanggar PKPB.
“Polis Johor mengingatkan orang ramai perlu mematuhi PKPB dan dilarang menganjur sebarang pesta dan keramaian sepanjang tempoh ini, ” katanya.