Tiada DNA babi pada gegelang sotong sejuk beku

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada identifikasi porsin (DNA babi) dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku seperti dakwaan ditularkan menerusi media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kementeriannya dengan bantuan Jabatan Kimia Malaysia menjalankan identifikasi analisis porsin ke atas sampel gegelang sotong itu.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan yang diterima, Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan tiada DNA babi dikesan di dalam sampel terbabit.

Katanya, KPDNHEP mengambil maklum isu yang tular di media sosial oleh seorang pengguna mendakwa kononnya gegelang sotong terbabit adalah rektum babi yang ditemuinya di sebuah premis di Perlis.

“Bertindak atas aduan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk terbabit di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bharu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Semalam media melaporkan Jabatan Perikanan (DOF) mengesahkan tiada DNA babi dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku seperti ditularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Mohd Sufian Sulaiman, berkata jabatan itu melalui makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur, menjalankan identifikasi analisis porsin ke atas sampel gegelang sotong itu dan menegaskan ia selamat untuk dimakan.

Alexander berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan dijalankan dari beberapa produk ditemukanKPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua produk terbabit bersama beberapa dokumen perniagaanuntuk siasatan lanjut.

Katanya, KPDNHEP menasihatkan pengguna agar berhati-hati dalam menyebarkan maklumat menerusi media sosial termasuk isu berkaitan halal kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan supaya membuat aduan mengikut saluran yang betul berserta maklumat yang lengkap kepada pihak bertanggungjawab termasuk KPDNHEP melalui saluran aduan seperti WhatsApp 019-279 4317, portal aduan – e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 atau emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) menerusi talian 03-8882 6088/6245.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker