COVID-19: Angka jangkitan di seluruh dunia melepasi 5 juta

PARIS: Jangkitan global COVID-19 melepasi lima juta di seluruh dunia hari ini dengan China kini berharap untuk mengumumkan “kemenangan”, manakala Eropah masih lagi dengan catatan jumlah kematian tertinggi dengan tumpuan kini di Amerika Latin.

Brazil kini menjadi negara ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Russia, sambil Presidennya, Jair Bolsonaro, terus menggesa gabenor wilayah untuk menamatkan perintah berkurung di rumah, selain mempromosikan ubat anti malaria untuk melawan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Presiden Donald Trump pula berusaha untuk membawa kembali Amerika Syarikat (AS) menjadi “hebat” dengan membuka semula negara berkenaan secara berperingkat.

Walaupun jumlah kematian setiap hari tidak lagi meningkat, kerugian masih lagi menekan dengan lebih daripada 1,500 kematian tambahan dilaporkan dalam 24 jam semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di AS lebih dari 93,400.



Trump yang dilihat terdesak untuk kerjaya politiknya dengan pilihan raya akan berlangsung pada November nanti, masih terus menuduh China sebagai penyebab kepada kematian di seluruh dunia.

Beijing pula dengan Presiden Xi Jinping bertekad untuk mengetengahkan kisah kejayaan mengatasi wabak yang bermula di negaranya akhir tahun lalu sebelum melanda seluruh dunia.

Dalam normal baharu, China juga sudah mengadakan acara politik terbesar tahunan iaitu Persidangan Perundingan Politik Rakyat China selepas sebulan tergendala akibat COVID-19.

Ini mungkin akan menjadi kesempatan bagi Jinping untuk menyatakan kemenangan sepenuhnya dalam ‘perang rakyat’ terhadap virus itu, menurut Prof Politik Sains di University of Toronto, Diana Fu. – AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button