COVID-19: NSC Thailand cadang lanjutkan perintah darurat sebulan lagi

BANGKOK, 21 Mei — Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) hari ini mencadangkan untuk melanjutkan tempoh perintah darurat sehingga 30 Jun untuk mengekang pandemik COVID-19 secara berkesan di negara itu.

Ketika Thailand terus mencatatkan bilangan yang rendah bagi kes baharu COVID-19, Setiausaha Agung NSC Jen Somsak Rungsita berkata langkah itu perlu untuk menghalang gelombang kedua wabak berkenaan di Thailand yang merekodkan 3,307 kes COVID-19 dengan 56 kematian, sejak penularan wabak maut itu pada Januari.

Somsak yang mempengerusikan mesyuarat mengenai pelonggaran sekatan dan langkah-langkah COVID-19 berkata jawatankuasa itu mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat yang akan berakhir pada 31 Mei sehingga sebulan lagi.

“Situasi COVID-19 di Thailand telah bertambah baik bagaimanapun keadaan di seluruh dunia masih membimbangkan kerana bilangan kes yang disahkan terus meningkat.



“Untuk menghalang gelombang kedua penularan pandemik COVID-19, fasa ketiga dan keempat pelonggaran sekatan dan langkah-langkah pada Jun akan lebih baik membendung wabak itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Somsak berkata Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha yang akan mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) esok akan memutuskan sebelum mengemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan pada Selasa.

Thailand yang kali pertama mengisytiharkan perintah darurat pada 26 Mac hingga 30 April kemudian melanjutkan tempoh itu sehingga 31 Mei untuk memerangi pandemik COVID-19.

Negara Gajah Putih ini memulakan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei melibatkan enam jenis perniagaan dan tempat dibuka semula manakala fasa kedua bermula 17 Mei.



Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand melaporkan tiga kes baharu COVID-19 dan sifar kematian sepanjang 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,037 dengan jumlah kematian kekal 56.

Beliau berkata tiga kes baharu itu melibatkan seorang lelaki warganegara Jerman berusia 42 tahun yang melawat isterinya di wilayah utara Chaiyaphum dan dua rakyat Thailand – lelaki berusia 72 tahun di Bangkok yang mempunyai sejarah melawat hospital dan kedai gunting rambut serta seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang pulang dari Filipina.

Daripada 3,037 kes COVID-19, seramai 2,897 pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital manakala 84 masih berada di wad.

Sementara itu, Thaweesilp berkata beberapa hotel mewah terpilih dan resort di negara itu menawarkan kemudahan kuarantin bagi pelawat asing yang sanggup membayar untuk kemudahan itu.

Beliau berkata hotel, resort dan hospital akan bekerjasama untuk menyediakan perkhidmatan kepada warga asing yang dibenarkan memasuki negara itu di bawah dekri darurat dan menjalani 14 hari kuarantin.

“Ini akan meringankan beban kewangan kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker