Aksi kejar-mengejar polis bukan kes rompakan

JASIN: Polis menafikan berlaku kejadian rompakan membabitkan sebuah bank di Pekan Jasin, di sini hari ini seperti yang tular di Facebook yang dimuat naik oleh sebuah portal sejak tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata beliau yang turut berada di tempat kejadian, menafikan video berdurasi 11 saat yang tular itu adalah kejadian rompakan dan tiada berlaku insiden tembak-menembak seperti disiarkan itu.

Beliau berkata, kejadian sebenarnya adalah pihak polis ketika itu berjaya menahan dan memberkas dua lelaki yang cuba melarikan diri sejauh kira-kira 15 kilometer dari FELDA Bukit Senggeh ke arah Pekan Jasin.

“Sebelum kejadian itu, dua lelaki yang menaiki kereta jenis PROTON Waja berwarna hitam itu dilihat dalam keadaan mencurigakan kerana berhenti di tepi jalan sunyi.

“Pihak polis yang pada ketika itu menjalankan rondaan, mendekati kereta berkenaan, namun pemandu yang berusia 26 tahun yang turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu terus memecut melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua suspek berjaya ditahan di Bulatan Rim, di sini dengan bantuan kira-kira 10 anggota polis peronda (MPV) dan trafik, selepas 15 minit aksi kejar-mengejar itu.

Difahamkan lelaki berusia 26 tahun itu bekerja sebagai pembantu kedai makan, manakala suspek kedua berusia 24 tahun bekerja sebagai kelindan lori.

Mispani berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Tanjung Kling, Melaka Tengah itu, mengaku melarikan diri disebabkan rasa takut akan diperiksa oleh polis selepas berhasrat untuk bertemu dengan teman wanita.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jasin untuk siasatan. Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker