Bermalam Dikira Langgar SOP Aktiviti Ziarah Pada Aidilfitri – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 22 Mei – Bermalam dikira melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan bagi aktiviti ziarah-menziarahi sempena Aidilfitri, jelas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mengikut SOP, aktiviti ziarah-menziarahi hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja.

“Kalau kita raya 24 haribulan, kalau dia tidur di situ, lebih pukul 12.01 (tengah malam) dah jadi 25 haribulan, dan dia nak beraya lagi esok tu, jadi salah dari segi SOP,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Mengenai proses penghantaran pulang penuntut dari institusi pengajian tinggi (IPT),  Ismail Sabri berkata ia akan bersambung semula pada 28 Mei iaitu selepas Aidilfitri.

“Seramai 1,722 penuntut dijadual dihantar pulang melibatkan tiga penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan tiga penerbangan lagi dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur,” katanya.



Beliau berkata, semalam (Khamis, 21 Mei) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghantar pulang 894 pelajar melibatkan dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching dan dua penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Pada 27 April hingga 21 Mei, KPT telah menghantar pulang 51,352 penuntut IPT yang berada di kampus ke pangkuan keluarga masing-masing, kata Ismail Sabri.

Mengenai rakyat Malaysia di luar negara yang hendak pulang ke tanah air, beliau berkata Kedutaan Malaysia di luar negara menyediakan kemudahan mengisi borang secara dalam talian.

“Selain borang untuk pulang ke tanah air, rakyat Malaysia juga boleh mengisi borang akujanji pembayaran 50 peratus caj hotel yang dikenakan kepada mereka yang menjalani kuarantin wajib setelah tiba di tanah air.



“Jadi tidak perlu bimbang perlu ‘travel’ jauh untuk ke Kedutaan Malaysia kerana semuanya boleh dilakukan secara dalam talian,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata jika tidak ada keperluan atau sebarang kecemasan untuk pulang lebih baik tinggal sahaja di negara mereka berada.

Pada Khamis seramai 913 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin wajib.

Sehingga hari ini seramai 30,976 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang, katanya. – BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button