Muafakat Nasional, Kembali Kepada Fitrah

SEDAR tak sedar Ramadan bakal melabuhkan tirainya, pemergiannya ditangisi dan dirindui, debaran Syawal semakin dirasai, persiapan bagi meraikan Aidilfitri rancak diatur. Persoalannya, sejauh manakah keberhasilan yang kita capai sepanjang berada di madrasah Ramadan? Adakah kita dapat merasai perubahan yang positif kepada diri dan keluarga pada Ramadan kali ini? Adakah Ramadan kali ini antara Ramadan yang terbaik dalam kehidupan kita? Alangkah beruntungnya mereka yang melangkah keluar dari madrasah Ramadan dengan mendapat keampunan daripada Allah SWT dan rugilah jika sebaliknya.

Aidilfitri adalah lambang kemenangan bagi mereka yang berjaya mendidik jiwa dan menundukkan kehendak hawa nafsu sepanjang berada di madrasah Ramadan. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengungkapkan “Bukanlah Hari Raya semata-mata berpakaian baharu, akan tetapi hari raya itu bagi mereka yang takutkan hari pembalasan”.

Pada tahun ini, kita akan meraikan Aidilfitri dalam suasana dengan normal baharu yang jauh berbeza dari tahun sebelumnya. Warga kota beraya di kediaman masing-masing jauh daripada ibu bapa dan keluarga terdekat di kampung. Rentas negeri tidak dibenarkan, kunjung-mengunjung tidak digalakkan dan dihadkan kepada hanya 20 orang tetamu sahaja. Walaupun dalam suasana baharu, saya yakin ianya tidak akan membantutkan sambutan Aidilfitri. Suasana kanak-kanak segak menggayakan baju baharu, ketupat, rendang sebagai hidangan raya, pelita dipasang di keliling rumah, kanak-kanak bermain bunga api dan tradisi sampul raya masih ada di Aidilfitri kali ini. Cuma mungkin hanya diraikan dalam suasana bersederhana sesuai dengan keadaan negara yang masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.



Aidilfitri penyubur fitrah insani, hari kembalinya kesucian manusia. FITRAH juga berkait dengan HANIF, iaitu suatu sifat dalam diri manusia yang cenderung, memihak kepada kebaikan dan kebenaran serta bencikan kepada kejahatan dan keburukan. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w.bersabda yang bermaksud: “Kebajikan ialah suatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Dosa ialah sesuatu yang terasa tidak keruan dalam hati dan terasa bimbang di dada”. (HR Ahmad).

Cenderung dan sukakan kebaikan adalah fitrah, bukan sahaja beribadah, bersedekah, menolong mereka yang kesusahan dan bersilatulrahim malah memperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain dalam komuniti dan organisasi serta hubungan kita dengan Allah adalah fitrah insani apatah lagi ketika menyambut Aidilfitri.

Membina dan memperteguhkan kesatuan dan penyatuan juga adalah fitrah kepada sesebuah perjuangan. Meruntuh dan memporak-perandakan kesatuan yang telah atau sedang dibina adalah suatu musibah dan kerugian kepada perjuangan. Ta’awun siyasi antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) adalah lambang kepada kesatuan, kembali kepada fitrah, khususnya FITRAH PERJUANGAN demi kemaslahatan rakyat. Walaupun ada individu dan kumpulan yang memperlecehkan dan melabelkan MN dengan pelbagai andaian antaranya MN hanya bersifat sementara dan akan gagal, MN akan dilupakan dan sebagainya. Tetapi yakinlah, jika asasnya adalah fitrah perjuangan, MN mampu bertahan dan mencapai objektif penubuhannya.

Sudah lumrah dalam perjuangan akan wujud penentangan daripada mereka yang tidak sebulu dan sehaluan walaupun sebaik mana sekalipun hadaf dan objektif perjuangan itu. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertaqwa). – Surah Al-Insan, Ayat 27



Tolak ansur dan toleransi antara kunci untuk mengelakkan berlakunya penentangan, porak peranda dan perpecahan. Manakala kedegilan, sikap keras kepala, tidak mengalah dan merasakan pandangan serta tindakan kita sahaja yang betul bukan sahaja akan membawa kepada konflik tetapi memberikan impak negatif kepada organisasi.

Sejarah telah membuktikan bahawa tolak-ansur merupakan antara faktor yang membolehkan Islam di Sepanyol berkembang pesat dan seterusnya menyumbang kepada peradaban manusia dalam segala bidang.

Sempena dengan kehadiran Aidilfitri, saya mengajak kepada semua ahli pelbagai peringkat dan kepimpinan UMNO kembali kepada ‘Fitrah Perjuangan’ iaitu kebenaran, kebaikan dan kesatuan. Jika terdapat sebarang permasalahan dan ketidakpuasan hati, kembali kepada meja perundingan dan penyelesaian secara bersama. Tolak-ansur dan toleransi adalah hak yang sentiasa terbuka dalam UMNO semenjak dahulu, selagi ia tidak disalah ertikan sehingga membawa kemudaratan kepada UMNO dan perjuangannya.

Semoga kita mendapatkan inspirasi terbaik dari madrasah Ramadan kali ini dan marilah kita sama-sama suburkan Fitrah Perjuangan UMNO dan Muafakat Nasional yang sebenar. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.



AHMAD ZAHID HAMIDI
#menghayatiperjuanganparti
#fitrahperjuanganumno
#kitajagakita

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button