Helah bungkusan hadiah buat pengurus rugi RM66,695

KUANTAN, 24 Mei — Teruja untuk menerima bungkusan hadiah berisi pelbagai barangan berjenama menyebabkan seorang pengurus menanggung kerugian RM66,695 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam, sejak awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 27 tahun itu mendakwa membuat bayaran itu bagi mendapatkan bungkusan dari United Kingdom kiriman rakan wanita yang dikenalinya sejak 5 Mei lalu di Facebook.

“Suspek dikatakan menghantar kiriman itu sebagai hadiah persahabatan sebelum mereka bertemu pada hujung bulan Jun ini, memandangkan wanita terbabit mendakwa akan ke Malaysia bagi urusan kerja.

“Mangsa mendakwa bungkusan berisi komputer riba, minyak wangi, baju dan kasut berjenama serta wang tunai dihantar pada pertengahan bulan ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.



Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki pada Khamis lalu kononnya kakitangan syarikat penghantaran yang memaklumkan bungkusan itu mengalami masalah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana tidak menjelaskan cukai.

Suspek lelaki itu meminta mangsa untuk membuat bayaran cukai dan bayaran proses penghantaran yang dijelaskan mangsa menerusi transaksi pemindahan wang sebanyak tujuh kali ke akaun diberikan suspek.

“Mangsa hanya membuat semakan di internet mengenai nama syarikat penghantaran itu semalam dan mendapati terdapat aduan penipuan menyebabkan dia berasa ditipu oleh suspek wanita dan lelaki tersebut,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, Raub, semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker