Khai ‘tutup pintu’ pada Aidilfitri

 

KUALA LUMPUR: Kerinduan penyanyi, Khai Bahar pada orang tuanya terubat apabila dapat pulang menyambut 1 Syawal di kampung halamannya di Kangar, Perlis.

Awalnya, penyanyi lagu Bayang dan Luluh itu agak bimbang berkemungkinan meraikan Aidilfitri seorang diri di Kuala Lumpur. Namun, dia bersyukur apabila permohonan untuk pulang ke kampung menerusi aplikasi Gerak Malaysia yang dihantar diluluskan.



“Alhamdulillah, permohonan saya untuk pulang ke Kangar diluluskan, jadi dapatlah saya meraikan Syawal bersama orang tua dan keluarga di kampung.

“Saya tetap mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan iaitu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari ketika sampai di kampung halaman, awal bulan ini.

“Saya sentiasa menjaga penjarakan sosial. Saya nak peluk emak dan abah pun tak berani sebab tak nak mereka berdepan dengan risiko,” katanya kepada BH Online.

Jika tahun lalu, kediaman Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin sering diserbu peminat dan sanak saudara, tetapi terpaksa mengamalkan dasar ‘tutup pintu’, tahun ini.



“Seperti yang disarankan, saya dan keluarga tidak dapat menerima kehadiran tetamu seperti kelazimannya. Kediaman saya ada warga emas dan anak saudara yang masih kecil.

“Saban tahun, saya pasti akan keluar beraya dan mengunjungi teman-teman apabila pulang ke kampung. Bagaimanapun, saya kena berkurung di rumah sahaja melihat situasi penularan wabak COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya tiada yang berkecil hati dengan keputusan kami sekeluarga. Kita terpaksa meraikan Syawal dengan normal baharu demi nyawa dan keselamatan,” katanya yang mengharapkan pengertian.

Walaupun pergerakan terbatas, namun itu bukanlah satu halangan untuknya tidak menikmati kemeriahan lebaran yang hanya muncul setahun sekali.



“Saya tetap melakukan persiapan seperti biasa. Saya memakai beberapa pasang baju Melayu yang diberikan oleh FAR8 di mana saya menjadi dutanya. Aktiviti wajib malam raya pula pasang pelita.

“Itu memang tugasan saya setiap tahun. Apabila pasang pelita, saya seronok dan semangat menyambut Aidilfitri semakin membuak-buak,” katanya.

Mengulas penganjuran Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19, Khai berkata, dia lebih selesa mengamalkan sikap tunggu dan lihat.

“Jika boleh saya tak mahu perkara ini memberi tekanan. Saya ikut sahaja apa yang ditakdirkan. Kalau ada rezeki, adalah. Nak cerita banyak mengenainya pun susah kerana tidak tahu bilakah wabak ini akan berakhir,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button