Dera bayi, pengasuh taska direman empat hari

JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh di sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai, di sini yang disyaki mendera bayi di premis berkenaan, direman empat hari.

Perintah itu dikeluarkan Majistret R Salini ke atas suspek wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

Suspek yang juga warga tempatan itu dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna jingga dan ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menahan suspek itu kira-kira jam 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska yang berada di kawasan Mutiara Rini.

“Mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen sah beroperasi.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kejadian dan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 019-8822403 untuk membantu siasatan.

Semalam, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Tindakan wanita itu mengundang kemarahan netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker