Ustaz Wadi tiada tauliah mengajar di Selangor – JAIS

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah Ustaz Muhammad Wadi Annuar tiada tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, JAIS menegaskan nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur bagi sesi ceramah Ustaz Muhammad Wadi Annuar yang dijadualkan pada 10 dan 11 Mac adalah selaras dengan ketetapan berkenaan.

“Menurut Seksyen 118, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016 yang menetapkan hanya Jawatankuasa Tauliah yang mempunyai bidang kuasa memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara mengenai agama Islam di Selangor.



“Semakan yang dibuat oleh pihak JAIS juga mendapati Ustaz Muhammad Wadi Annuar tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, pihaknya juga maklum mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook Ustaz Wadi Annuar berhubung makluman pembatalan ceramah di Selangor yang kemudiannya dikongsi semula oleh pihak lain.

“JAIS kesal dengan tindakan individu dan pihak tertentu yang membuat hantaran-hantaran kurang tepat mengenai prinsipal di media sosial.



“Ini mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pihak berkuasa agama dan kerajaan Selangor,” katanya.

Semalam hantaran itu memaklumkan dua ceramah Ustaz Wadi Annuar di negeri ini pada 10 dan 11 Mac dibatalkan.

Dua ceramah berkenaan dijadualkan di dua lokasi iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sebab pembatalan ceramah berkenaan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button