Cameroon negara Afrika pertama berjaya tewaskan Brazil di Piala Dunia

LUSAIL: Jurulatih Cameroon, Rigobert Song menyifatkan pertembungan dengan Brazil awal pagi tadi sebagai sesuatu yang penuh dengan kenangan pahit dan manis buat arena bola sepak Afrika.

Jerome Ngom Mbekeli, satu-satunya pemain dalam skuad kebangsaan Cameroon yang beraksi bersama kelab tempatan melakukan larian dan hantaran lintang yang mencetuskan kepada tandukan Vincent Aboubakar, sekali gus membenarkan kemenangan 1-0 Indomitable Lions muncul sebagai negara Afrika pertama berjaya menewaskan Brazil di Piala Dunia.

Meskipun meraih kemenangan, Cameroon menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dan secara automatik tersingkir daripada kejohanan.

Ngom Mbekeli, 24, adalah pemain gantian terakhir diturunkan Cameroon pada baki empat minit sebelum tamat perlawanan.

Song dalam pada itu memberikan kredit kepada bekas jurulatihnya, Henri Michel, kerana memberikan peluang sebegitu pada 1994 ketika dia bermain bersama kelab tempatan, Tonnerre Yaounde dan membuat kemunculan sulung di Piala Dunia.

“Kami perlu mempercayai pemain muda,” kata Song.

“Henri Michel pernah memberikan saya peluang. Dia melihat potensi dalam diri saya. Sekarang, saya jurulatih dan saya melihat potensi yang ada pada diri pemain muda saya.

“Saya tahu (Ngom Mbekeli) seorang pemain yang baik dan berkualiti. Dia hanya memerlukan peluang untuk membuktikannya. Saya harap prestasinya dapat memberikan motivasi kepada pemain tempatan lain.”

Walaupun Brazil sudah mara ke pusingan seterusnya, Cameroon masih menjadi pasukan pertama yang menewaskan juara dunia lima kali itu dalam peringkat kumpulan Piala Dunia sejak dilakukan Norway di Perancis 1998.

“Sekarang kami sedar yang kami mampu menjadi lebih baik,” kata Song.

“Namun, kami adalah sebuah pasukan muda. Hari ini, kami sudah melihat sebuah pasukan muda yang menjadi semakin kuat dan mereka seharusnya diberikan pujian atas prestasi mereka.

“Sesuatu yang menyedihkan apabila kami terpaksa pulang, namun kami akan terus berusaha dan mempamerkan peningkatan.”

AP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker