Media Sepanyol sambut positif La Liga disambung
MADRID: Media Sepanyol gembira selepas kerajaan negara itu mengumumkan saingan La Liga dapat disambung semula pada bulan depan.
Namun, keputusan itu menimbulkan banyak cabaran termasuk musim panas, stadium kosong dan peraturan kesihatan.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, semalam mengumumkan bahawa bola sepak yang ditangguhkan akibat COVID-19 boleb disambung kembali bermula 8 Jun.
“La Liga sudah kembali,” tajuk halaman depan akhbar harian paling laris Sepanyol, Marca, turut dihiasi bentuk hati yang dihasilkan dengan logo 20 kelab.
Presiden La Liga, Javier Tebas memberi bayangan liga akan disambung semula pada 12 Jun, dengan aksi tetangga antara Real Betis dan Sevilla sebagai pembuka tirai.
Baki 11 perlawanan terakhir musim ini akan berlangsung di stadium tertutup pada saat sebahagian besar negara itu dijangka berdepan cuaca panas terik.
Pada mesyuarat dengan La Liga pada hujung minggu, Persatuan Pemain Bola Sepak Sepanyol (AFE), meminta rehat tambahan ketika perlawanan apabila suhu antara 28 dan 32 darjah celsius.
Malah, latihan dan perlawanan dicadangkan ditunda sekiranya suhu meningkat melebihi 32 darjah, lazimnya terjadi ketika musim panas di sebahagian besar tempat di Sepanyol.
– AFP