Keterbatasan dalam PKPB dorong kumpulan seni dan kebudayaan hasilkan lagu raya unik
SEREMBAN, 25 Mei — Keterbatasan pergerakan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini mendorong sekumpulan penggiat seni dan budaya mencipta lagu Hari Raya dengan lirik serta gubahan muzik yang cukup unik.
Pengarah Artistik Pertubuhan Penggiat Seni dan Budaya Unik Negeri Sembilan V. Savithri, 53, berkata kekangan untuk berkunjung ke rumah kenalan berbangsa Melayu yang menyambut Hari Raya tahun ini memberi ilham kepadanya untuk menjadikan lagu sebagai pengganti diri.
“Melihat kepada situasi semasa yang sedang melanda negara iaitu wabak COVID-19, banyak perkara yang tidak dapat kita lakukan seperti kebiasaan. Jadi saya hasilkan lirik lagu yang mudah dan tidak berat tetapi datang dari hati yang terkesan kerana tidak dapat sama-sama meraikan kemeriahan Hari Raya dengan kawan-kawan seperti sebelum ini.
“Sementara muzik lagu ini dipetik daripada sebuah filem Hindustan tahun 1956 bertajuk ‘Bhai Bhai’ tetapi diberi nafas baharu menggunakan instrumen muzik masyarakat India bagi mengekalkan semangat perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia… Selepas ia dimuat naik di akaun Facebook kami pada Sabtu lepas, kami tidak sangka ia menjadi tular dan mendapat pelbagai komen positif daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Savithri berkata video lagu Hari Raya yang dirakam itu turut disertai empat anaknya serta Pengarah Artistik Bersama kumpulan kesenian dan kebudayaan itu, M. Abisheg, 49.
“Lirik lagu raya ini turut diselitkan serangkap pantun empat kerat… ’Rindu dengan sahabat, Tak dapat berjabat, Walaupun tak ada ketupat, Kita tetap sepakat’ yang turut menjadi daya penarik untuk lagu ini,” katanya.
Abisheg pula berkata lagu itu mengambil masa kira-kira dua hari untuk disiapkan sepenuhnya.
“Disebabkan gubahan muziknya diberi nafas baharu, ia mengambil sedikit masa untuk menyempurnakannya. Kami gunakan alat muzik seperti mirudhanggam dan tabla termasuk gitar bes.
“Kalau ikutkan hampir setiap tahun kami menggubah semula lagu Hari Raya tetapi sebelum ini, kita gunakan lagu sedia ada sahaja dan hanya dinyanyikan semula. Kali ini, kita buat gubahan muzik baharu daripada lagu Hindi lama,” katanya.
Beliau berkata elemen perpaduan amat dititikberatkan dalam setiap karya seni yang dihasilkan sama ada dari segi seni tari mahupun nyanyian.
Video rakaman nyanyian lagu raya selama satu minit 23 saat itu mendapat ratusan perkongsian dan ribuan tontonan serta pelbagai komen positif daripada warganet.
— BERNAMA