Tiket bas pulang ke Kelantan kehabisan

Kota Bharu: Tiket bas ekspres bagi perjalanan dari Lembah Klang dan negeri lain ke Kelantan sempena Aidilfitri ini sudah habis.

Kebanyakan tiket bertarikh 17 April hingga 21 April dari Lembah Klang, utara mahupun selatan kehabisan sejak hari pertama Ramadan berikutan sambutan begitu menggalakkan.

Ejen penjualan tiket bas, Izani Zakaria, 39, yang menjual tiket membabitkan 10 syarikat bas ekspres, di sini, berkata sambutan diterima menggalakkan dan situasi itu sama pada setiap tahun.

“Asalnya kita menjangkakan sambutan sedikit perlahan memandangkan sudah ada perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Kelantan, namun sambutan diterima tetap sama.

“Untuk laluan Lembah Klang ke Kelantan sahaja membabitkan lebih 60 buah bas sudah penuh.

“Itu tidak termasuk untuk laluan utara, selatan dan negeri dari Pantai Timur iaitu Terengganu dan Pahang untuk pulang ke Kelantan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, untuk bas Ekspres Mutiara, ia mula dijual untuk Aidil Fitri pada dua minggu sebelum Ramadan lagi dan kesemua tiket habis dijual dalam tempoh satu hari sahaja.

“Manakala, bagi Ekspres Perdana pula, jualan dibuka pada hari pertama Ramadan dan tidak sampai satu jam, kesemua tiket sudah habis,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya terpaksa menambah perjalanan harian memandangkan permintaan tinggi.

“Jika sebelum ini trip harian kita sekitar 70 hingga 80 trip, namun bertambah kepada 90 hingga 100 trip untuk Aidil Fitri,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker