Jual pelitup muka lebih harga siling, pemilik premis runcit dikompaun RM10,000

CHUKAI, 26 Mei — Seorang pemilik premis runcit dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas dikesan menjual pelitup muka melebihi harga siling yang ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, hasil pemeriksaan, anggota penguatkuasa KPDNHEP Kemaman mendapati pemilik premis tersebut, seorang wanita berusia 45 tahun telah menjual 70 unit pelitup muka tiga lapis dengan harga RM2.40 seunit.

“Kesemua barangan bernilai RM168 itu dirampas dan siasatan sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi dibuat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum boleh dikenakan terhadap individu tersebut sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Saharuddin berkata, harga jualan runcit bagi pelitup muka yang dikawal ialah RM0.15 seunit bagi jenis satu lapis, RM0.20 seunit bagi jenis dua lapis, RM1.50 seunit bagi jenis tiga lapis dan RM6 seunit bagi jenis N95.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KPDNHEP Negeri Terengganu telah menjalankan 5,798 pemeriksaan dan melibatkan 87 kes dengan nilai kompaun sebanyak RM33,000.

Selain itu, sebanyak 205 aduan yang diterima daripada orang awam, telah diambil tindakan oleh pihaknya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker