PRN Johor: Suppayah mesra rakyat

JOHOR BAHRU: Hanya beberapa hari berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, calon Barisan Nasional (BN), S Suppayah menerima indikator positif apabila disambut baik pengundi termasuk berbangsa Tionghua.

Suppayah yang berusia 57 tahun itu berkata, dia bukan asing lagi dalam kalangan pengundi di kawasan berkenaan yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa Tionghua (24,771), Melayu (16,770) dan India (3,790).

Beliau yang berkecimpung dalam politik selama 21 tahun berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan sebelum ini.

Menurutnya, ia berikutan dia pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) selama 12 tahun serta menangani pelbagai permasalahan rakyat termasuk ketika pandemik Covid-19.



Katanya, sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat, dia akan berusaha bagi menggerakkan perancangan pembangunan yang tergendala di kawasan berkenaan.

“Terdapat pelbagai perancangan pembangunan tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Sedenak namun pelaksanaannya diteruskan selepas BN mengambilalih pemerintahan kerajaan negeri.

“Ia mampu menarik pelaburan tempatan dan asing menerusi syarikat khususnya berkaitan pengurusan data dan perkomputeran akan menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan.

“Malah kerajaan Negeri Johor di bawah pemerintahan BN merancang untuk melaksanakan kerja-kerja meluruskan ‘Selekoh S’ Batu 21, jalan Johor Bahru-Air Hitam dengan kos RM8 juta, namun ia tergendala selepas PRU-14,” katanya.



Suppayah berkata, pengundi seharusnya bijak membuat pilihan dan tidak sewenang-wenangnya memberi mandat kepada ‘calon penggembara’ yang menjanjikan perubahan.

“Selama 22 bulan PH memerintah, memang ada perubahan tetapi perubahan kurang disenangi.

“Saya membesar di Kampung Seri Paya, Kulai dan mengetahui setiap perkara berkaitan Bukit Batu dan sudah tentu saya tidak akan bersikap lepas tangan terhadap pengundi dan tiada masalah untuk saya turun padang bila-bila masa.

“Bukan seperti calon lain yang menggembara dari kawasan lain untuk memancing undi di sini selain calon yang lompat parti seolah-olah kerana mahu bertanding di kerusi ini.

“Apa yang penting adalah nilai kepimpinan seseorang dan saya yakin sekiranya pengundi menyokong BN, mereka mampu melihat pelbagai perkembangan positif termasuk daripada segi pembangunan, ekonomi dan kebajikan penduduk,” katanya ketika ditemui.

Suppayah menghadapi persaingan daripada calon Parti Warisan Sabah, Lee Ming Wen; Parti Keadilan Rakyat, Arthur Chiong Sen Sern dan Perikatan Nasional (PN), Tan Heng Choon.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker