Pemuda UMNO junjung kasih titah Agong, Pemangku Sultan Johor

Oleh – Syeikh Baran


Pemuda UMNO junjung kasih titah Agong, Pemangku Sultan Johor
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Pemuda UMNO menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berhubung isu kalimah ‘Allah’ serta memastikan ia tidak berulang lagi.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata beliau serta kepimpinan pergerakan itu bersetuju isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh dan tindakan tegas perlu diambil.



“Di kala keadaan berada dalam kecelaruan, rakyat khususnya umat Islam, berduka cita atas insiden berkenaan.

“Oleh demikian, titah Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Ismail amat bermakna serta penting terhadap usaha memelihara kesucian, keharmonian serta penghormatan kepada agama rasmi tanah air.

“Semoga Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota sekeluarga sentiasa dirahmati Allah SWT, serta rakyat di bawah naungan baginda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dilaporkan murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di sebuah rangkaian kedai serbaneka.



Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu itu berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Seri Paduka menegaskan, kalimah Allah dipandang sangat tinggi dalam sanubari umat Islam, dan tidak sepatutnya timbul perkara yang boleh membangkitkan kemarahan, terutama pada Ramadan.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail pula dilapor turut menitahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah ‘Allah’.

Tunku Mahkota Ismail dipetik bertitah, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan isu sedemikian tidak akan berulang lagi.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button