18 lelaki termasuk dua warga Bangladesh didakwa ingkar PKPB

GEORGE TOWN, 28 Mei — Seramai 18 lelaki termasuk dua warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan melakukan aktiviti di dalam pub dan kelab malam pada 18 Mei lepas.

Sebelas daripada lelaki itu termasuk dua warga Bangladesh berkenaan mengaku bersalah, manakala tujuh yang lain mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 36 tahun.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa terlibat melakukan aktiviti terlarang di dalam pub dan kelab malam termasuk menjalankan perniagaan di dalam premis itu yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan di Bar Fly, Jalan Gurdwara, di sini pada 9 malam, 18 Mei lepas.



Kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap 11 lelaki itu atau penjara tiga bulan sekiranya mereka gagal bayar denda itu.

Bagi tujuh lagi lelaki mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dua warga Bangladesh terbabit turut mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap 18 Mei lepas.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala peguam Navin Kumar mewakili tujuh tertuduh itu dan 11 yang lain diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button