COVID-19: Thailand rancang pendekkan tempoh perintah berkurung sebelah malam selama sejam

BANGKOK, 28  Mei — Thailand merancang untuk memendekkan tempoh perintah berkurung lima jam pada waktu malam yang berlangsung ketika ini di negara itu dari 11 malam hingga 4 pagi selama sejam di bawah fasa ketiga pelonggaran sekatan bermula 1 Jun ini.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) Jeneral Somsak Rungsita tidak menyatakan sama ada tempoh perintah itu akan bermula sejam lebih lewat atau berakhir sejam lebih awal.

“Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) esok untuk membincangkan langkah menarik balik sekatan dan membuka semula lebih banyak perniagaan serta waktu perintah berkurung,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.



Somsak berkata perniagaan dan venue yang dijangka beroperasi semula pada Isnin termasuk pusat urut dan pawagam di pusat membeli-belah.

Thailand mengisytiharkan perintah darurat pada 26 Mac hingga 30 April susulan pandemik COVID-19, mengenakan sekatan dan bertindak menutup sekolah, pusat hiburan, stadium sukan, melarang perjalanan antarabangsa dan antara wilayah.

Pada 3 April, negara itu turut mengenakan perintah berkurung pada waktu malam sebagai langkah tambahan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Perintah darurat di Thailand telah dilanjutkan sehingga 31 Mei dan kemudian sehingga 30 Jun bagi mengelak gelombang kedua wabak COVID-19 di negara itu.



Negara itu memperkenalkan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei dengan membuka semula enam jenis perniagaan dan venue diikuti fasa kedua yang bermula pada 17 Mei.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand mencatatkan 11 kes baharu COVID-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,065 kes dengan 57 kematian.

Beliau berkata kesemua kes baharu membabitkan rakyat Thailand berusia lingkungan 27 hingga 52 tahun yang kembali dari luar negara iaitu empat dari Kuwait, enam dari Qatar serta seorang dari India dan mereka kini menjalani kuarantin selama 14 hari di sebuah kemudahan milik negara itu.

Setakat ini, sebanyak 2,945 kes dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital sementara 64 lagi masih menerima rawatan.



“Daripada sejumlah 3,065 kes, sebanyak 2,444 kes atau 79.74 peratus adalah kes jangkitan tempatan manakala 621 kes atau 20.26 peratus adalah kes import,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button