Tiada jaminan Na’imah tidak akan larikan diri jika dapat pasport

Oleh – Syeikh Baran


Tiada jaminan Na’imah tidak akan larikan diri jika dapat pasport
Na’imah (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Saddam Yusof/Kosmo!

Tiada jaminan bahawa isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid tidak akan melarikan diri ke luar negara jika pasportnya dikembalikan secara kekal, demikian hujah pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pasport beliau ditahan oleh Mahkamah Sesyen sebagai syarat jaminan ekoran pendakwaan terhadapnya atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, isteri Tun Daim Zainuddin itu boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa agar pasportnya dikembalikan secara sementara jika beliau bercadang ke luar negara.

Ketika ditanya Hakim Datuk Ahmad Bache tempoh pemulangan pasport jika pemohon berhasrat membawa suaminya ke luar negara, Wan Shaharuddin menjelaskan pasport itu boleh diperoleh pada hari yang sama permohonan dikemukakan.

Sehubungan itu, beliau berhujah, permohonan Na’imah tidak wajar dibenarkan kerana ia dikhuatiri akan mewujudkan persepsi masyarakat dan menimbulkan ketidakadilan kepada tertuduh lain.

“Status pemohon telah berubah dan tidak sama dengan individu lain, beliau kini seorang tertuduh. Maka perlu ada sekatan melalui penahanan pasport,” ujar Wan Shaharuddin.

Mahkamah sedang mendengar permohonan Na’imah, 67, untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta dalam usaha mendapat perintah agar pasportnya dipulangkan secara kekal.

Hakim Ahmad kemudian menetapkan keputusan permohonan Na’imah pada 22 Mac ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker