COVID-19: Thailand longgarkan lagi sekatan mulai 1 Jun

BANGKOK, 29 Mei — Thailand akan melonggarkan lagi sekatan yang dikenakan susulan pandemik COVID-19 dengan membuka semula lebih banyak perniagaan dan memendekkan tempoh perintah berkurung di bawah fasa ketiga pelonggaran sekatan bermula Isnin ini.

Setelah keadaan COVID-19 terus bertambah baik, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) Jeneral Somsak Rungsita berkata tempoh perintah berkurung yang ketika ini dari 11 malam hingga 4 pagi, akan dipendekkan selama sejam, kepada dari 11 malam hingga 3 pagi.

Beliau berkata pusat spa dan urut, pawagam dan teater, zoo dan pusat pameran akan dibuka semula dengan jarak sosial yang ketat dan mengehadkan jumlah pengunjung.



Pusat beli-belah akan dibenarkan untuk melanjutkan waktu operasi dari jam 8 malam hingga 9 malam bermula Isnin.

“Pelonggaran sekatan, pembukaan semula perniagaan dan venue akan membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) Thailand menganggarkan kira-kira 8.4 juta pekerja di negara itu berkemungkinan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand menyusut 1.8 peratus pada suku pertama 2020 berbanding tempoh sama 2019 setelah pandemik COVID-19 menjejaskan sektor pelancongan dan mengurangkan aktiviti perniagaan.



Somsak berkata, stadium bola sepak, bola tampar, bola keranjang dan futsal akan dibuka semula tetapi hanya untuk tujuan latihan dengan jumlah penyokong yang terhad.

Beliau berkata gimnasium dan kelab kecergasan dibuka sepenuhnya dengan pengguna terhad.

Thailand masih melarang kemasukan warga asing yang bukan pemastautin. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) telah melanjutkan larangan semua ketibaan penumpang antarabangsa hingga 30 Jun, untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Thailand, negara pertama di luar China yang melaporkan kes COVID-19, menutup tempat awam utama termasuk pusat beli-belah, pusat hiburan dan venue sukan di seluruh negara mulai 26 Mac.



Negara itu melonggarkan sekatan bagi fasa pertama pada 3 Mei, apabila enam jenis perniagaan dan beberapa venue dibuka semula. Thailand memulakan fasa kedua kelonggaran sekatan pada 17 Mei.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand melaporkan 11 kes baharu COVID-19, namun tidak ada kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,076 dan kematian sebanyak 57 kes.

Semua kes baharu itu, kata beliau melibatkan warganegara Thailand yang kembali dari Kuwait dan mereka menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah kemudahan yang disediakan kerajaan.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button