Harga emas cecah paras tertinggi dalam sebulan

NEW YORK: Harga emas meningkat untuk mencecah paras tertinggi sejak pertengahan Mac selepas krisis Russia-Ukraine mendorong pelabur memilih aset selamat.

Harga spot emas menokok 0.5 peratus kepada AS$1,984.20 (sekitar RM8,411.02) seauns hari ini, paras tertingginya sejak 14 Mac.

Niaga hadapan emas Amerika Syarikat (AS) naik 0.8 peratus kepada AS$1,990.20.

Kenaikan hari ini menyusuli peningkatan mingguan kedua berturut-turut untuk logam berharga itu.

Tentera Ukraine tidak mempedulikan kata dua diberikan Russia untuk meletakkan senjata di pelabuhan Mariupol, dengan Moscow mendakwa tenteranya hampir merampas sepenuhnya bandar berkenaan yang musnah.

Perkembangan itu disifatkan oleh Moscow sebagai ‘kemenangan’ terbesar perang yang berlanjutan hampir dua bulan itu.

Bagaimanapun, hasil pada penanda aras nota Perbendaharaan AS bagi 10 tahun yang mengukuh ke paras tertinggi sejak Disember 2018. mengekang kenaikan lebih tinggi harga emas.

Emas dianggap sebagai simpanan nilai yang selamat semasa krisis politik dan ekonomi, selain menjadi pelindung nilai terhadap inflasi.

Sementara itu, China dijangka melaporkan penurunan mendadak dalam aktiviti ekonomi pada Mac apabila wabak dan penutupan COVID-19 mempengaruhi pengguna dan kilang, walaupun pertumbuhan suku pertama mungkin meningkat disebabkan permulaan yang kukuh pada awal tahun.

Pelabur saham di AS pula bimbang ketidaktentuan geopolitik dan usaha bank pusat negara itu, Rizab Persekutuan (Fed) terhadap inflasi boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Sehubungan itu, pelabur lebih berminat untuk memilih saham dalam sektor bersifat bertahan, yang dipercayai dapat menyerap ketidaktentuan dengan lebih baik selain cenderung untuk menawarkan dividen lebih mantap.

Sementara itu, harga spot perak naik 0.5 peratus kepada AS$25.80 seauns, platinum menambah 0.8 peratus kepada AS$997.50 dan paladium mengukuh 1.1 peratus kepada AS$2,393.67.

Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker