Banduan teruja buat bubur lambuk bersama Raja Permaisuri Agong

KUANTAN: “Sejak 16 tahun sebagai banduan, ini kali pertama saya dan 15 rakan berpeluang menyediakan bubur lambuk dalam penjara Penor bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Kenangan semalam tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila terutama apabila saya akan dibebaskan pada Jun depan,” kata banduan Azlan, 42, (bukan nama sebenar).

Pada program Majlis Memasak Bubur Lambuk Bersama Penjara Penor, di sini semalam, seramai 16 banduan bersama kakitangan penjara Penor menyertai program yang bermula 10 pagi dan berakhir lapan jam kemudian.

Program julung kali diadakan itu menghasilkan lebih 2,500 bekas bubur lambuk dan diagihkan kepada semua banduan yang menghuni penjara Penor termasuk kakitangan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad; Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain; Pengarah Penjara Penor Fayrouz Ahmad Zawawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif

Azlan yang berasal dari Sarawak berkata, keramahan Raja Permaisuri Agong sepanjang program memberi lebih keselesaan kepadanya dan banduan lain yang terbabit dalam penyediaan makanan tradisional Melayu itu.

Katanya, Raja Permaisuri Agong tidak asing lagi dalam kalangan banduan penjara Penor apabila baginda sering berkunjung ke Kompleks Tenun Diraja bagi melihat aktiviti menghasilkan kain tenun oleh banduan.

“Ketika di Sarawak saya tidak kenal bubur lambuk, namun apabila bertugas di Selangor sebagai guru agama yang mengajar golongan mualaf, saya mula kenal bubur lambuk yang rasanya sedap.

“Program membuat bubur lambuk bersama Raja Permaisuri Agong semalam akan menjadi kenangan manis sepanjang saya bergelar banduan yang menerima hukuman penjara selama 24 tahun kerana kesalahan liwat,” katanya yang tidak sabar untuk bebas Jun depan.

Bagi Arif, 45, (bukan nama sebenar), pengalaman menyediakan bubur lambuk adalah detik unik buat dirinya kerana tidak pernah membeli apatah lagi memasak bubur lambuk, walaupun berasal dari Shah Alam, Selangor dan pernah menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang popular dengan juadah itu sepanjang Ramadan.

“Nasib baik saya selalu tolong mengacau dodol di kampung, tak kekok untuk kembali mengasah bakat hari ini kerana bubur lambuk perlu sentiasa dikacau supaya tidak berkerak di dasar periuk,” katanya yang akan beraya buat tahun ke-22 di balik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara 41 tahun kerana kesalahan rompak dan rogol.

Anak jati Kuantan, Seelan, 28, pula menyifatkan dirinya menanggung kerja yang “paling berat” kerana ditugaskan untuk menjadi “tukang rasa” kesemua tiga periuk bubur bagi memastikan hidangan itu cukup rasa.

Dia yang menjalani hukuman penjara enam tahun kerana merompak juga menyifatkan pengalaman itu sebagai antara kenangan yang baik kepadanya sebelum dibenarkan keluar tahun hadapan.

“Saya takut apabila Raja Permaisuri Agong bertitah kalau bubur lambuk yang disediakan tawar atau masin, saya yang akan dipersalahkan kerana diberi tanggungjawab sebagai tukang rasa,” katanya yang kali pertama makan bubur lambuk.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker