Skuad Rimau 7’s kecewa kontrak tidak disambung

KUALA LUMPUR, 30 Mei  — Barisan pemain pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) kebangsaan melahirkan rasa kecewa susulan kontrak mereka bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang berakhir pada Mac lepas, tidak disambung walaupun selepas pelbagai kejayaan diraih skuad dikenali Rimau 7’s itu.

Meskipun keputusan itu bukan menandakan barisan pemain sedia digugurkan daripada skuad kebangsaan, tindakan itu jelas akan menjejaskan perkembangan prestasi selain melemahkan semangat pemain, demikian menurut bekas ketua pasukan, Zulkiflee Azmi.

Katanya, sepanjang berada di bawah kontrak bersama MSN, skuad Rimau 7’s menunjukkan peningkatan positif, antaranya, memperbaiki pencapaian pingat perak pada Sukan SEA 2015 Singapura sehingga melakar kejayaan bersejarah meraih pingat emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.



“Kita raih beberapa kejayaan dan pamerkan peningkatan sejak adanya kontrak dan program bersama MSN. Daripada pingat perak di Sukan SEA Singapura, kita berjaya raih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur. Bila bawah kontrak akan ada program latihan khusus yang menjamin perkembangan prestasi pemain.

“Selepas ini (tanpa kontrak) ia akan jadi sukar buat pemain kerana masing-masing perlu mengekalkan kecergasan sendiri. Sebelum ini kami duduk bersama macam sebuah keluarga, itu antara kunci kejayaan pasukan selama ini kerana meniupkan semangat pemain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, Zulkiflee, yang dinobatkan Pemain Lelaki Terbaik Peringkat Antarabangsa bagi kategori pasukan 7’s pada Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019, berkata situasi ini mungkin menyaksikan beliau akan menimbangkan panggilan mewakili skuad kebangsaan selepas ini.

“Dalam keadaan sekarang tanpa kontrak dan program khas bersama MSN, saya rasa saya tidak akan mewakili negara jika saya tidak cergas dan bersedia,” jelasnya.



Turut berkongsi pandangan sama adalah seorang lagi pemain Rimau 7’s, Anwarul Hafiz Ahmad yang mengakui sudah tawar hati apabila pengorbanannya selama ini termasuk menangguhkan pengajiannya sebanyak dua kali seperti tidak dihargai.

Beliau yang terkilan dengan keputusan itu turut mendakwa Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak menyediakan perancangan masa depan buat pemain sedia sebaik KRM dan MSN mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang menuju Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

“Persatuan tidak ada memanggil kami (pemain) untuk menerangkan tentang situasi ini malah tiada sebarang perancangan dibuat untuk kami. Kami telah capai satu keputusan yang konsisten sepanjang berada dalam program ini. Sejujurnya, saya telah tawar hati,” katanya.

KRM bersama MSN baru-baru ini, mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi 7’s lelaki dan wanita negara, dengan lebih tumpuan diberikan kepada barisan pemain berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun.



Ia bertujuan mempersiapkan skuad ragbi 7’s kebangsaan untuk mencabar Korea Selatan dan Sri Lanka selaku antara empat pasukan terbaik Asia, sekali gus membawa pulang pingat sulung pada Sukan Asia 2026.

Bagaimanapun, KRM menegaskan program MSN itu adalah berasingan dengan skuad kebangsaan yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan tertinggi peringkat antarabangsa.

KRM turut memberi jaminan meskipun kontrak pemain sedia ada Rimau 7’s tidak disambung, badan induk itu tidak sesekali akan menafikan hak pemain sedia ada untuk terus mewakili skuad kebangsaan selagi mereka mampu beraksi di tahap terbaik.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button