Syazwan, Sya putus tunang 31 Mac
KUALA LUMPUR: Teka teki status pertunangan pelakon Syazwan Zulkifly, 33, dan pramugari, Syawariah Zulkifli, 33, akhirnya terjawab apabila bekas tunangannya itu mengesahkan ikatan terlerai pada 31 Mac lalu.
Syawariah atau Sya memuat naik status dalam entri Instagram (IG) memaklumkan, dia sudah memulangkan cincin merisik dan bertunang kepada pelakon filem Juvana itu.
Tanpa berkongsi punca ikatan terlerai, Sya berkata, dia tahu banyak pihak menantikan kepastian apabila Syazwan memuat naik gambar bersama wanita lain dalam IG.
“Saya dan Syazwan memutuskan tali pertunangan pada 31 Mac lalu. Saya sendiri memulangkan cincin merisik dan bertunang kepadanya.
“Dalam hal ini, hanya keluarga sahaja yang mengetahuinya. Apa yang berlaku antara saya dan Syazwan, saya anggap sudah tiada jodoh antara kami.
“Biarlah hanya kami sahaja yang mengetahui punca perpisahan ini. Berhubung isu gambar Syazwan bersama wanita lain, biarlah dia sendiri yang menjelaskannya,” ujarnya dalam entri berkenaan.
Sya berkata, dia mendoakan yang baik-baik untuk bekas tunangnya itu.
“Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa ada di sisi pada saat ini. Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa mendoakan saya,” katanya.
Spekulasi Syazwan dan Sya putus tunang mula bertebaran apabila pelakon drama 7 Hari Mencintaiku dan Pujaan Hati Kanda itu tidak lagi mengikuti akaun IG bekas tunangannya itu.
Lebih menguatkan lagi dakwaan Syazwan memuat naik gambar bersama wanita lain dalam IG seolah-olah memberi gambaran sudah menemui pasangan baharu dan putus tunang. Bagaimanapun, Syazwan bertindak memadam gambar berkenaan beberapa jam kemudian.
Syazwan dan Sya mengikat tali pertunangan pada 31 Ogos tahun lalu di kediaman keluarga Sya di Taiping, Perak, selepas 10 tahun saling mengenal