Lengkuas Tertinggal Jadi Penyebab Cerai

 

Hanya kerana tertinggal bungkusan lengkuas yang dibeli di sebuah pasar di Dungun, seorang wanita warga emas diceraikan suaminya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Hakim Syarie negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd. berkata, pelbagai lagi alasan remeh-temeh yang menjadi punca perceraian pasangan Islam di Terengganu antaranya kerana isteri tidak memasak hidangan kegemaran suami.

 



Di samping itu, katanya, ada juga pasangan yang bercerai kerana isteri tidak memakai seluar jeans.

“Disebabkan terlampau marah, suami yang tidak mahu berpatah semula ke pasar untuk mengambil lengkuas berkenaan tiba-tiba melafazkan cerai semasa di atas motosikal.

“Bagaimanapun, rata-rata suami menyesal dengan tindakan itu dan segera tampil ke mahkamah syariah bagi mengesahkan perceraian sebelum kembali rujuk dengan pasangan masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd. Zakri, situasi perceraian dengan alasan remeh-temeh dan tidak munasabah itu lazim serta sentiasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kalangan suami agar banyak bersabar dan tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati jika menghadapi masalah dengan pasangan masing-masing kerana kesan buruknya terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

“Jangan begitu mudah melafazkan perkataan cerai, sebaliknya suami perlu melihat pertimbangan lain dalam menyelesaikan masalah.

 



“Kaedah mendidik, mengajar mahu pun bergurau dengan isteri bukan melalui ugutan lafaz talak tetapi banyak lagi pendekatan lain yang disaran Rasulullah dan yang paling mustahak semua pasangan perlu bertolak-ansur serta tidak ego demi menyelamatkan sesebuah perkahwinan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Mohd. Zakri berkata, semua mahkamah syariah di negeri ini akan beroperasi sepenuhnya bermula minggu dengan memperluas kategori yang boleh didaftarkan berbanding sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker