FAM pertimbang pendekatan kuarantin adakan kem latihan skuad kebangsaan
KUALA LUMPUR, 1 Jun — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertimbangkan pendekatan kuarantin, sama seperti pelaksanaan program Road To Tokyo (RTT), untuk mengadakan kem latihan sebagai persediaan skuad kebangsaan menghadapi dua kejohanan utama, Oktober depan.
Skuad Harimau Malaya perlu mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, manakala skuad bawah 18 tahun (B-18) negara perlu bersedia menghadapi saingan kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, yang juga kelayakan Piala Dunia B-20 FIFA 2021.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata bagaimanapun sebarang keputusan dan perancangan untuk kedua-dua pasukan kebangsaan itu bergantung kepada kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak.
Susulan sekatan perjalanan dan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, latihan di luar negara juga tidak dapat dijalankan.
“Bagi skuad B-18, kami akan menempatkan mereka di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. Memandangkan MSN sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk program RTT, kami sedia bekerjasama dengan MSN.
“Bagi skuad senior pula, kami perlu mendapatkan kelulusan dan menyediakan SOP terlebih dahulu sebelum membincangkan masa sesuai untuk mengumpul pemain. Seperti yang kita ketahui, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berusaha mendapatkan kebenaran agar pemain kelab (dan negeri) dapat memulakan latihan, asalkan pemain dapat berlatih, kita sudah cukup gembira,” katanya pada sidang media maya hari ini.
Skuad badminton dan pelayaran negara yang dalam persiapan ke temasya Sukan Olimpik, masing-masing memulakan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi hari ini, dengan SOP ketat, manakala atlet di bawah program elit yang selebihnya, mendaftar di MSN pada 8 Jun.
Stuart berkata buat masa ini, FAM tidak dapat menetapkan tarikh kem latihan pusat buat skuad kebangsaan kerana belum mendapatkan kepastian berhubung keputusan kerajaan kemungkinan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9 Jun ini.
Ditanya mengenai kemungkinan pemain enggan melapor diri ke kem latihan berikutan bimbang jangkitan COVID-19, Stuart berkata FAM belum mengadakan perbincangan dengan pemain kerana perkara utama adalah untuk mendapatkan SOP dan kelulusan terlebih dahulu.
“Selepas itu, baharulah kita mengadakan perbincangan dengan pemain, jika mereka enggan menyertai kem latihan, itu adalah pilihan mereka. Pada saya, perbincangan itu adalah antara ketua jurulatih (Tan Cheng Hoe) dan para pemain,” katanya.
Mengenai mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Stuart berkata mesyuarat yang dihadiri Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan itu berjalan lancar.
— BERNAMA