Noorkhiriah wakaf MPV jadi van jenazah
KUALA LUMPUR: Pelakon yang terkenal dengan watak Aishah dalam drama rantaian Nur, Noorkhiriah Ahmad Shapie mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya sebagai van jenazah.
Melalui hantaran yang dimuat naik di Instagram (IG), Noorkhiriah memberitahu, kenderaan itu akan dihantar ke bengkel bagi kerja pengubahsuaian sebelum pengumuman bila perkhidmatan penghantaran jenazah secara percuma itu, dapat diperkenalkan.
Ketika dihubungi BH Online, Noorkhiriah bagaimanapun enggan mengulas lanjut hasrat murninya itu, sebaliknya, pelakon berusia 41 tahun itu memohon maaf.
Bukan enggan bekerjasama, sebaliknya, Noorkhiriah segan dan bimbang, niatnya berkongsi mengenai perkara itu di laman sosial, dipandang serong.
“Minta maaf, memang ada yang menelefon untuk bertanya mengenai hal ini.
“Rasanya cukuplah sekadar perkongsian yang dibuat di IG sahaja. Tidak mengapalah, saya segan.
“Sebenarnya, saya segan untuk berkongsi di IG tetapi kerana ingin menghebahkan mengenai perkhidmatan percuma yang ditawarkan, saya umumkan juga.
“Faham sahajalah pandangan orang, jadi saya takut,” katanya.
Dalam hantaran yang dibuat naik beberapa hari lalu, Noorkhiriah memaklumkan dia melepaskan kenderaan terbabit kerana Allah.
“Alhamdulillah.. Lepaskan kerana Allah. Akak sayang maka akak jadikan kereta belakang ini sebagai van jenazah.
“Bagi yang memerlukan, dialu-alukan mendapatkan perkhidmatan percuma ini.
“Insya-Allah sudah siap sepenuhnya nanti, akak beritahu. Terima kasih juga kepada yang menyumbang,” katanya dalam hantaran itu.
Sementara itu, Noorkhiriah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata memberitahu, dia mewakafkan kenderaan terbabit kerana ingin meninggalkan sesuatu yang bermanfaat sebelum menutup mata buat selama-lamanya.
“Mohon doakan akak, bohong akak cakap kalau tak takut van jenazah.
“Akak tak kaya tapi sebelum meninggal dunia, akak nak tinggalkan sesuatu buat semua.
“Setakat cerita di televisyen (TV), itu jangan kira. Jangan kira dosa pahala orang lain. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri,” luahnya.